KUALA LUMPUR 24 Mac - Firma hartanah yang mengkhusus dalam gudang logistik, hab pembuatan (LWMH) dan penginapan pekerja dibina khas (PBWA), Kumpulan Syarikat ISP, menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) untuk memperoleh sebuah hartanah industri di Mukim Plentong, Johor, dengan nilai keseluruhan RM35.1 juta.
Terletak di lokasi strategik di Taman Perindustrian Cemerlang, kawasan seluas 242.81 hektar itu mempunyai akses yang baik melalui Persimpangan Ulu Tiram di Lebuhraya Senai-Desaru dan hanya 20 kilometer dari Johor Bahru.
Hartanah berkenaan, yang turut merangkumi anggaran kos berkaitan sebanyak RM1.8 juta, dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, dengan lanjutan tambahan selama satu bulan sekiranya diperlukan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding, Eric Ng berkata, pembelian tersebut mencerminkan usaha berterusan ISP untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam sektor hartanah industri sambil mencipta nilai jangka panjang bagi pemegang berkepentingan syarikat.
"Kedudukan strategik hartanah ini dalam hab industri Mukim Plentong menjadikannya pilihan ideal untuk perniagaan logistik, pembuatan dan pergudangan.
"Pembelian ini juga mengukuhkan komitmen ISP untuk mengembangkan portfolio hartanah industri kami dengan melabur di lokasi berpotensi tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, setelah siap, syarikat akan secara aktif mencari penyewa bagi hartanah berkenaan dan memanfaatkan permintaan terhadap ruang industri moden yang terletak di lokasi strategik.
Hartanah itu terdiri daripada sebuah kilang berkembar setingkat dengan bangunan pejabat dua tingkat yang disambungkan.
Ia merangkumi tanah pegangan bebas seluas 5.04 ekar dengan jumlah keluasan lantai kasar sebanyak 123,000 kaki persegi, termasuk 116,542 kaki persegi untuk pengeluaran dan penyimpanan, serta 6,458 kaki persegi untuk ruang pejabat.
Kemudahan tersebut dilengkapi dengan lima dok pemunggahan dan kawasan pemunggahan terbuka yang mampu menampung sehingga sepuluh kontena 40 kaki.
Ia turut menampilkan sistem rak palet berkapasiti tinggi dengan kapasiti 2,000 palet, pemercik air dalam rak dua lapisan, serta ketinggian alang 12 meter di bahagian sisi dan 14.7 meter di bahagian tengah.
Bangunan berkenaan juga menyepadukan ciri hijau moden, termasuk sistem fotovoltaik solar 351.5kWP yang diperakui untuk meter tenaga bersih serta sistem pencahayaan LED pintar.
Menurut Ng, ISP juga terlibat dalam perjanjian jual beli bagi pengambilalihan empat aset industri dengan jumlah kos RM188.5 juta, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran hartanah industri Malaysia.
"Kami juga sedang meneroka potensi pengambilalihan hartanah industri baharu bernilai sekurang-kurangnya RM500 juta, menegaskan komitmen kami terhadap pertumbuhan mampan dan pengembangan strategik," ujarnya. - DagangNews.com








