KUALA LUMPUR 14 Feb - Peneraju tempatan dalam komponen automotif, Kumpulan Denco, mencipta sejarah apabila meraih dua anugerah berprestij di Anugerah Automotif Asia 2024, sekali gus mengiktiraf keunggulan pembuatan dan inovasi selepas jualan automotifnya.
Pencapaian itu menandakan langkah penting bagi Kumpulan Denco, yang kini bersedia untuk meneroka pasaran antarabangsa bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju serantau.
Anak syarikatnya, Denco Industries Sdn Bhd menerima Anugerah Kecemerlangan Pembuatan Komponen Automotif (Kecemerlangan dalam Segmen Automotif), manakala Denco Marketing Sdn Bhd diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Produk Pasaran-Selepas Automotif (Kecemerlangan Produk & Perkhidmatan).
Kejayaan berganda tersebut menyerlahkan kepimpinan Denco dalam penghasilan produk dan rumusan berasaskan pasaran, mengukuhkan lagi pengaruh Malaysia dalam sektor automotif serantau.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun, Kumpulan Denco membina reputasinya sebagai pengilang dan pengedar komponen automotif berasaskan getah berkualiti tinggi.
Ditambah dengan rangkaian yang luas di seluruh negara, kumpulan terus membuktikan keupayaannya untuk menghasilkan komponen berkejuruteraan tepat, sambil mengekalkan piawaian kualiti yang ketat.
Denco kini beroperasi di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Denco, Ooi Chuan Chin berkata, penghargaan berkenaan mengesahkan komitmen syarikat dalam memajukan ekosistem automotif Malaysia.
"Kejayaan Denco didorong oleh fokus berterusan kami terhadap inovasi, perpaduan dan rumusan berorientasikan pelanggan. Kami berbesar hati menjadi penanda aras baharu dalam industri ini," katanya dalam satu kenyataan.
Pengiktirafan yang diterima Denco itu sejajar dengan Dasar Automotif Nasional Malaysia (NAP), yang mengutamakan daya saing global.
Denco Industries Sdn Bhd menerajui bahagian pembuatan kumpulan dengan pengunaan teknologi canggih dan sistematik bagi menghasilkan komponen automotif yang tahan lasak serta diiktiraf piawaian ISO.
Sementara itu, Denco Marketing Sdn Bhd memacu penembusan pasaran domestik melalui perkongsian strategik bersama pengedar dan peruncit, memastikan aksesibiliti serta perkhidmatan kecemerlangan di seluruh negara.
Malam Gala Asia Automotive Award Edisi Keempat 2024 menghimpunkan gergasi industri peneraju inovasi untuk meraikan sumbangan perubahan dalam landskap automotif. - DagangNews.com








