Kuantan Port sasar kendali 5 juta tan karbon dioksida setahun menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kuantan Port sasar kendali 5 juta tan karbon dioksida setahun menjelang 2030

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Kuantan Port Consortium Sdn Bhd mengunjurkan pengendalian karbon dioksida (CO₂) cecair di Pelabuhan Kuantan mencecah lima juta tan setahun menjelang 2030 dalam fasa pertama sebelum berpotensi meningkat kepada 30 juta tan setahun menjelang 2050.

 

Ketua Pegawai Komersial Kuantan Port, Mazlim Husin berkata, pelabuhan berkenaan bekerjasama dengan PETRONAS dalam projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang akan meningkatkan peranan kargo cecair di pelabuhan itu pada masa depan.

 

Menurutnya, PETRONAS telah menandatangani perjanjian untuk memajak atau pajakan semula kira-kira 60 hektar tanah di Pelabuhan Kuantan bagi membangunkan sebuah terminal.

 

 

 

 

 

 

 

“Kerjasama dengan PETRONAS di Pelabuhan Kuantan melibatkan kira-kira 60 hektar tanah untuk dipajak atau dipajak semula oleh PETRONAS daripada kami bagi pembangunan sebuah terminal,” katanya ketika sesi panel Ketua Pegawai Eksekutif: Pelabuhan dan Perkapalan pada persidangan LogiSYM Malaysia 2026 baru-baru ini.

 

Terminal Khas Kendali CO₂ Cecair

Mazlim berkata, terminal berkenaan akan menerima CO₂ cecair yang diimport, termasuk dari Jepun, menggunakan kapal khas sebelum kargo itu dipindahkan ke terminal PETRONAS di Pelabuhan Kuantan.

 

“Sebagai contoh, CO₂ akan diimport dari Jepun dan dihantar menggunakan kapal khas dari Jepun ke Kuantan, sebelum dipunggah ke terminal PETRONAS,” katanya.

 

Beliau berkata, CO₂ berkenaan akan disediakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan diberi tekanan sebelum dihantar melalui saluran paip sepanjang 250 kilometer.

 

CO₂ itu kemudiannya akan disuntik ke tapak penyimpanan geologi kekal di luar pesisir yang membolehkan karbon berkenaan disimpan dalam struktur geologi yang sesuai.

 

Mazlim berkata, Pelabuhan Kuantan melihat kargo cecair berpotensi memainkan peranan yang lebih besar dalam campuran kargonya pada masa depan, sejajar dengan perkembangan projek penangkapan dan penyimpanan karbon.

 

Potensi Terima CO₂ Dari Pantai Barat

Selain menerima CO₂ yang diimport, Mazlim berkata, Pelabuhan Kuantan berpotensi menjadi pusat pengumpulan CO₂ daripada syarikat pelepas karbon di beberapa kawasan lain di Semenanjung Malaysia menerusi hubungan rel.

 

Menurutnya, syarikat seperti kilang keluli dan kilang simen berpotensi menghantar CO₂ cecair menggunakan kereta api dari pantai barat ke Pelabuhan Kuantan.

 

CO₂ yang dihantar ke Pelabuhan Kuantan itu kemudiannya akan melalui proses sama sebelum disuntik ke tapak penyimpanan geologi kekal di luar pesisir.

 

 

 

 

 

Keputusan Projek Disasar Tahun Depan

Mazlim berkata, Kuantan Port kini bekerjasama rapat dengan PETRONAS bagi menjayakan projek berkenaan yang disasarkan mendapat kelulusan untuk memasuki fasa pelaksanaan pada tahun depan.

 

“Buat masa ini, kami bekerjasama rapat dengan PETRONAS.

 

“Menjelang tahun depan, kami berharap dapat mencapai keputusan muktamad dan berharap projek ini dapat dilaksanakan,” katanya. — BERNAMA