KTMB batalkan perkhidmatan MySawasdee 1004, 1005 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KTMB batalkan perkhidmatan MySawasdee 1004, 1005

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 NovKeretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan perkhidmatan tren MySawasdee No.1004 (KL Sentral – Hatyai pada 28 November 2025) dan MySawasdee No.1005 (Hatyai – KL Sentral pada 1 Disember 2025) dibatalkan susulan penutupan landasan kereta api di beberapa kawasan sektor Padang Besar – Hat Yai termasuk stesen Hat Yai akibat banjir yang melanda wilayah tersebut.

 

Menurut KTMB, keputusan itu dibuat selepas penilaian keselamatan dan operasi serta pengesahan daripada pihak berkuasa Thailand, dengan mengambil kira keselamatan penumpang sebagai keutamaan.

 

Sebanyak 840 tiket telah ditawarkan bagi kedua-dua perjalanan berkenaan. 

 

Seramai 652 penumpang masih belum membuat pembatalan tiket, sementara 188 penumpang telah membuat pembatalan awal dan layak menerima baki pemulangan tambang.

 

“Bagi pembelian tiket dalam talian, penumpang boleh membuat pembatalan melalui aplikasi KITS dengan memilih menu MyTicket → Upcoming Ticket → Refund dan akan menerima pemulangan tambang penuh secara serta-merta ke dalam KTM Wallet untuk kegunaan pembelian tiket masa hadapan,” kata KTMB dalam kenyataan hari ini.

 

KTMB menegaskan jadual dan tarikh perjalanan perkhidmatan MySawasdee seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan dan situasi semasa di Hat Yai, katanya.

 

Dalam kenyataan itu, KTMB berkata mereka memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sepanjang situasi ini.

 

Tambah KTMB, bagi maklumat lanjut atau pertanyaan, penumpang boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. - DagangNews.com