KPS Consortium peroleh kontrak RM107 juta bina pangsapuri 35 tingkat di Cheras | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPS Consortium peroleh kontrak RM107 juta bina pangsapuri 35 tingkat di Cheras

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 MacKPS Consortium Berhad berjaya memperoleh kontrak pembinaan terbaharu yang bernilai RM106.96 juta bagi pembangunan pangsapuri setinggi 35 tingkat di Cheras, Selangor.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan tersebut berkata, perkembangan positif itu sekali gus mengukuhkan buku tempahan syarikat berkenaan untuk tempoh tiga tahun akan datang.


Tambahnya, kontrak tersebut dianugerahkan oleh Hektar Giat Sdn Bhd kepada anak syarikat milik penuhnya, Hai Ming Development Sdn Bhd menerusi surat penganugerahan bertarikh 17 Mac 2026.


"Projek yang melibatkan pembinaan 356 unit pangsapuri lengkap dengan lima tingkat podium tempat letak kereta dan ada pelbagai kemudahan di Mukim Cheras, Hulu Langat," jelas KPS Consortium.


Tempoh kontrak tersebut bermula 25 Mac 2026 hingga 24 Mac 2029, dengan skop tugasan merangkumi antaranya kerja-kerja bangunan, mekanikal dan elektrikal (M&E), serta penyediaan lukisan.


Selain itu, kumpulan berkenaan perlu melaksanakan pematuhan kepada keperluan pihak berkuasa dan spesifikasi projek, termasuk penyediaan tenaga kerja, bahan serta peralatan yang diperlukan.


Menurut KPS Consortium, penerimaan kontrak tersebut adalah dalam operasi biasa perniagaan dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan.


"Tiada risiko luar biasa dijangka kecuali isu operasi biasa sepanjang tempoh pelaksanaan projek, serta tiada melibatkan pengarah atau pemegang saham utama dalam kontrak itu," katanya. - DagangNews.com