KUALA LUMPUR 21 Ogos - KPJ Healthcare Berhad mengumumkan peletakan jawatan Chin Keat Chyuan sebagai Presiden dan Pengarah Urusan kumpulan, berkuat kuasa 1 September 2026, bagi meneruskan fasa baharu dalam kerjaya beliau.
Bagi memastikan kelancaran peralihan kepimpinan, Lembaga Pengarah KPJ Healthcare telah melantik Ketua Pengarah Perubatannya, Profesor Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid, sebagai Pegawai Pimpinan atau Officer-in-Charge (OIC), berkuat kuasa pada tarikh sama.
Pelantikan itu akan disokong oleh Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah, dengan Dr. Hanafiah bertanggungjawab memimpin kumpulan serta memastikan pelaksanaan keutamaan strategik dan operasi KPJ diteruskan sepanjang tempoh peralihan kepimpinan.
Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr. Ismail Bakar, berkata Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan Chin sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama kumpulan.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Encik Chin atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada KPJ.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Chin telah bekerjasama dengan Lembaga Pengarah dan Warga KPJ dalam memacu agenda strategik kumpulan serta memperkukuh organisasi.
“Kami menghormati keputusan beliau dan mendoakan kejayaan dalam fasa seterusnya,” katanya.
Hala Tuju Strategik KPJ Kekal
Mengulas mengenai peralihan kepimpinan itu, beliau berkata, Lembaga Pengarah telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan proses berkenaan berjalan dengan lancar dan teratur.
Menurutnya, hala tuju strategik KPJ kekal tidak berubah, dengan kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan perancangan sedia ada serta memastikan momentum dan kemajuan organisasi terus dipacu.
Chin pula berkata, memikul tanggungjawab sebagai Presiden dan Pengarah Urusan KPJ merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dalam perjalanan kerjayanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh bersama KPJ, beliau berbesar hati dapat bekerjasama dengan Warga KPJ dan menyumbang kepada kemajuan kumpulan.
“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan serta peluang untuk menimba pengalaman dan belajar daripada ramai pihak sepanjang di sini,” katanya.
Chin turut menyifatkan KPJ sebagai sebuah organisasi yang kukuh, dengan kekuatan utamanya terletak pada komitmen Warga KPJ dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Saya yakin kumpulan akan terus melakar kejayaan dengan berpandukan hala tuju yang jelas,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Pengarah berkata, ia kekal komited untuk mengekalkan momentum pertumbuhan kumpulan dan meneruskan agenda strategik jangka panjang.
KPJ akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan bersepadu, memacu pertumbuhan yang mampan serta memastikan penyampaian hasil rawatan terbaik kepada setiap pesakit. - DagangNews.com








