KPJ Healthcare lancar Pusat Kecemerlangan Jantung, Paru-paru pertama di Johor Specialist Hospital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare lancar Pusat Kecemerlangan Jantung, Paru-paru pertama di Johor Specialist Hospital

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 DisKPJ Healthcare Berhad mempercepat transformasi strategiknya ke arah sistem kesihatan akademik bersepadu dengan pelancaran Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru pertama di Johor Specialist Hospital (JSH), sekali gus meletakkan asas kepada pembangunan 15 pusat kecemerlangan menjelang 2030 di bawah KPJ Health System (KPJHS).

 

KPJ Healthcare dalam kenyataan berkata, pusat kecemerlangan sulung itu berperanan sebagai hab penyelarasan klinikal berstandard tinggi melalui pelaksanaan protokol rawatan seragam, semakan kes multidisiplin serta penambahbaikan berasaskan data di seluruh rangkaian hospital KPJ, satu langkah penting bagi meningkatkan kualiti hasil rawatan secara berskala nasional.

 

KPJHS yang dilancarkan pada 2024 mengintegrasikan tiga teras utama iaitu amalan klinikal, pendidikan menerusi KPJ Healthcare University (KPJU) serta penyelidikan dan inovasi, bertujuan memperkukuh tadbir urus klinikal dan mewujudkan pengalaman pesakit yang lebih konsisten.

 

 

 

 

 

 

Sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh keupayaan antarabangsa, kumpulan itu turut memeterai penglibatan khidmat rundingan dengan Mayo Clinic Global Consulting bagi mempertingkat standard klinikal, pengalaman pesakit, kerangka pendidikan dan pembangunan penyelidikan supaya sejajar dengan amalan terbaik global.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata penubuhan pusat kecemerlangan itu membawa mandat jelas iaitu satu sistem, satu standard dan hasil yang lebih baik.

 

“KPJHS menyediakan hala tuju lebih tersusun untuk mencapai hasil yang boleh diukur, sekali gus memastikan pesakit menerima rawatan lebih selamat, akses lebih pantas dan pengalaman lebih konsisten di hospital kami,” katanya yang juga Pengerusi KPJU dan Jawatankuasa Penyelarasan KPJHS.

 

Turut hadir ialah Pengerusi KPJ Healthcare, Dr Ismail Bakar; Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan; serta Naib Presiden Global Commercial Solutions, Mayo Clinic International, Royston Lek.

 

Sementara itu, Chin Keat Chyuan berkata pelancaran pusat kecemerlangan pertama itu menandakan peralihan ketara KPJ daripada operasi hospital secara individu kepada model sistem kesihatan bersepadu.

 

Menurut beliau, melalui KPJHS, amalan klinikal diperkkukuh dengan pendidikan berstruktur manakala penyelidikan diterapkan dalam rutin harian bagi meningkatkan hasil rawatan dan menyeragamkan pengalaman pesakit di seluruh rangkaian.

 

 

 

 

 

 

 

Dari sudut operasi, fokus utama Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru JSH merangkumi:
•    Pelaksanaan protokol klinikal seragam dan semakan kes multidisiplin,
•    Pembangunan kapasiti klinikal melalui latihan simulasi, penempatan klinikal dan semakan kes bersama KPJU,
•    Integrasi digital dan data dalam aliran kerja untuk menyokong keputusan klinikal, serta
•    Penambahbaikan berterusan bagi mengukuhkan akauntabiliti dan hasil rawatan.

 

Pelancaran pusat kecemerlangan pertama ini menjadi pemangkin kepada penubuhan 15 pusat kecemerlangan sehingga 2030, sekali gus memperkukuh kedudukan KPJ sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan swasta negara, selain menyokong agenda meningkatkan akses, keupayaan klinikal dan nilai penjagaan kesihatan kepada pesakit di seluruh Malaysia. - DagangNews.com