KUALA LUMPUR 21 Mei - KPJ Healthcare Berhad mencatat prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) apabila keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 22% tahun ke tahun kepada RM69.6 juta.
Prestasi lebih baik itu disokong pertumbuhan hasil yang mampan, peningkatan intensiti hasil serta pengurusan kos berdisiplin susulan pelaksanaan transformasi menerusi KPJ Health System (KPJHS).
Kumpulan berkata, hasil meningkat 9% kepada RM1.05 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala EBITDA berkembang 11% kepada RM233.3 juta dengan margin EBITDA sebanyak 22.2%.
Margin PATAMI turut bertambah baik kepada 6.6%, dipacu campuran kes yang lebih berkualiti dan permintaan berterusan terhadap rawatan kompleks serta perkhidmatan kepakaran khusus.
“Prestasi suku pertama menunjukkan pulangan awal yang positif daripada peralihan kami ke arah penciptaan nilai berasaskan sistem,” kata Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan dalam kenyataan hari ini.
Operasi, Prestasi dan Dividen
Dari segi operasi, purata hasil bagi setiap pesakit dalam meningkat 6%, manakala purata hasil bagi setiap pesakit luar meningkat 7%.
Kemasukan pesakit dalam meningkat 2% kepada 88,863, sementara lawatan pesakit luar naik 1% kepada 695,332.
Jumlah pembedahan turut meningkat 2% kepada 27,565, manakala kadar penggunaan katil (BOR) berada pada 60% susulan penambahan kapasiti operasi pada suku tersebut.
Sejajar prestasi lebih baik itu, KPJ mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1 sen sesaham membabitkan pembayaran keseluruhan RM44.3 juta yang akan dibayar pada 17 Julai 2026.
Menurut Chin, kumpulan kini sedang melaksanakan Pelan Strategik 2026-2030 yang menandakan peralihan daripada model pertumbuhan berasaskan pengembangan hospital kepada sistem kesihatan akademik swasta bersepadu pertama di Malaysia.
Katanya, transformasi itu memberi fokus kepada pembangunan pusat kecemerlangan (CoE), pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), penyelidikan serta integrasi operasi di seluruh kumpulan.
Sepanjang 1QFY26, KPJ melancarkan CoE Neurosains dan Strok pertama di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), selain memperkukuh keupayaan rawatan jantung menerusi pelaksanaan prosedur CHIP PCI dan pembedahan jantung invasif minimum pertama di Johor Specialist Hospital (JSH).
Tawakkal Specialist Hospital (TSH) pula berjaya melaksanakan pemindahan buah pinggang pertama dalam kumpulan selepas beberapa tahun.
Dalam perkembangan lain, KPJ turut merangkul 10 anugerah di Healthcare Asia Awards termasuk anugerah “Hospital Group of the Year – Malaysia”.

Aplikasi digital KPJ Cares turut memenangi anugerah emas dalam kategori Health, Wellness and Lifestyle Apps di Asia-Pacific Stevie Awards 2026.
Bagi suku kedua 2026, KPJ akan terus memperkukuh agenda transformasi KPJHS termasuk pembangunan sistem maklumat kesihatan baharu, peluasan kerjasama strategik bersama institusi antarabangsa seperti Royal College of Surgeons of England dan Mayo Clinic serta pengukuhan sektor pelancongan kesihatan.
Kumpulan berkata, inisiatif tersebut dijangka memperkukuh daya tahan institusi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar akibat ketidaktentuan geopolitik global.
Bank Negara Malaysia sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4% hingga 5% bagi tahun 2026, disokong permintaan domestik dan eksport yang kekal stabil. - DagangNews.com








