KUALA LUMPUR 26 Ogos — Kossan Rubber Industries Berhad meraih manfaat peningkatan purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah susulan gangguan bekalan global, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan berkenaan sekali gus membantu melonjakkan keuntungan bersih kumpulan itu lebih dua kali ganda kepada RM64.47 juta pada suku kedua FY26.
Kenaikan ASP itu tidak menjejaskan permintaan apabila jumlah jualan syarikat tersebut kekal berdaya tahan, serta menyumbang kepada pengembangan margin dan prestasi kewangan yang mengatasi jangkaan.
"Prestasi kukuh 2QFY26 itu mendorong kami menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Kossan bagi FY26 sebanyak 11.8%, mengambil kira asas keuntungan serta margin yang lebih tinggi," jelas CGSI.
Ujarnya, keuntungan bersih teras bagi tempoh separuh pertama 2026 mencecah RM104 juta, meningkat 55.1% tahun ke tahun (YoY) mewakili kira-kira 64% daripada unjuran setahun penuh firma berkenaan.
Menurutnya lagi, prestasi suku kedua yang mengatasi jangkaan didorong oleh pengembangan margin, berikutan pelaksanaan pelarasan harga secara lebih cekap serta pengurusan kos dengan berkesan.

CGSI namun menjangkakan margin operasi sebelum faedah dan cukai (EBIT) Kossan kembali sederhana daripada paras tinggi pada 2QFY26, meskipun kekal pada trend peningkatan secara beransur-ansur.
"Kami mengunjurkan EBIT bagi setiap 1,000 keping sarung tangan sebanyak AS$3 (RM12.08) bagi FY26 disokong usaha pengoptimuman kos dan keadaan asas industri yang semakin pulih," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham kumpulan berkenaan dan menaikkan harga sasaran (TP) berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada RM1.40.
Kata CGSI, saham Kossan kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY28 sebanyak 13 kali, yang dianggap menarik berbanding unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkumpul EPS iaitu 13.1%.
Antara pemangkin kepada penilaian semula saham ialah penghapusan kapasiti pembuatan sarung tangan lama di peringkat global, dan kelewatan operasi kapasiti baharu pesaing China di luar negara.
"Bagaimanapun, cabaran utama masih melibatkan risiko ketepuan segmen sarung tangan yang menekan jumlah jualan, selain penyusutan nilai aset menjejaskan prestasi kewangan kumpulan," katanya. - DagangNews.com








