KUALA LUMPUR 18 Feb - Kos susut nilai dan pelunasan (D&A) dijangka kekal melebihi RM3 bilion pada tahun kewangan 2025 (FY25) untuk CelcomDigi Bhd hasil daripada perbelanjaan modal yang tinggi pada FY24.
CGS International Research berkata, peralihan ke arah sistem teknologi maklumat pada FY24 membawa kepada kadar susut nilai yang lebih tinggi dan akibatnya firma penyelidikan itu mengurangkan anggaran keuntungan bersih FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 26.3%/18.9%.
Katanya, pengurusan kumpulan telekomunikasi berkata, pendapatan sebelum faedah dan cukai FY25 mungkin berkembang pada kadar yang rendah.
Firma penyelidikan itu berkata, ia jauh di bawah anggaran pengembangan 45% tahun ke tahun sebelumnya, yang mengandaikan kos penggabungan akan terus berkurangan.
"Kami menyemak turun penarafan kumpulan itu daripada "tambah" kepada "pegang" dengan harga sasaran (TP) yang dikurangkan sebanyak RM4 sesaham berbanding RM4.50," katanya dalam satu nota kajian.
CGS International berkata, kumpulan itu berdepan risiko pertumbuhan hasil lebih lemah daripada jangkaan kesan daripada peningkatan system teknologi maklumat baharu yang membawa kepada keuntungan bersih dan aliran tunai yang lebih lemah daripada jangkaan.
Firma penyelidikan itu mengandaikan CelcomDigi bakal membina rangkaian 5G pertama, dikendalikan oleh Digital Nasional Bhd.
Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan jangkaan keuntungan FY25 kumpulan dengan panggilan "outperform" dan TP sebanyak RM4.10 sesaham.
Ia menjangkakan FY25 yang lebih baik apabila kos susut nilai berkurangan, mencerminkan asas aset yang lebih ramping berikutan latihan kemerosotan nilai selepas penggabungan utama dalam FY23 hingga FY24.- DagangNews.com








