KUALA LUMPUR 30 April – Kos penjanaan elektrik di Sabah mencecah hampir dua kali ganda berbanding tarif semasa, dan menyebabkan kerajaan perlu menyalurkan subsidi besar mencecah RM849 juta.
Timbalan Ketua Menterinya, Dr Joachim Gunsalam berkata, situasi itu berpunca kebergantungan Sabah kepada gas asli berbanding Sarawak menikmati kos rendah hasil penggunaan hidro berskala besar.
Beliau ketika menggulung perbahasan peringkat Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah di Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu menambah, subsidi itu memastikan bil elektrik mampu dibayar rakyat.
“Bekalan elektrik di Sabah sebenarnya tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan Sarawak kerana kos penjanaan di negeri ini adalah jauh lebih tinggi,” jelasnya ketika mengulas isu kos tenaga itu.
Menurutnya, bagi isi rumah yang menggunakan 600 kilowatt jam (kWh), bil RM200 hanya mencerminkan separuh daripada kos sebenar, dengan jurang itu ditampung melalui subsidi kerajaan Persekutuan.
Bagi mengurangkan beban pengguna, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk rebat RM40 kepada golongan miskin tegar melalui program eKasih serta diskaun 10% kepada pihak tertentu.
Selain itu jelas Joachim, struktur tarif turut mengambil kira subsidi bersasar termasuk kepada pengguna berpendapatan sederhana dengan penggunaan elektrik bulanan antara 300 hingga 600 kWh.
"Insentif ini turut meliputi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan usaha menambah baik bekalan dilaksanakan termasuk melalui projek perintis di kawasan setinggan," kata beliau.
Langkah berkenaan ujarnya, dilakukan dengan pendekatan oleh penyedia perkhidmatan pihak ketiga dan sistem 'rumah meter' bagi mengurangkan sambungan haram serta meningkatkan kecekapan bil semasa.
Kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada peluasan liputan elektrik luar bandar, termasuk projek talian penghantaran 132kV dan pencawang utama di Bengkoka, Pitas yang melibatkan 12 kampung.
Sementara itu tambah beliau, projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu dilihat sebagai pemangkin penting dalam usaha memperkukuhkan kestabilan bekalan tenaga di seluruh Sabah.
"Kemudahan berkapasiti 100MW/400MWh itu mengurangkan penggunaan diesel sebanyak 9.8 juta liter sejak beroperasi pada Ogos 2025, sekali gus menjimatkan kira-kira RM24.07 juta," kata Joachim.
Ujarnya, dengan harga diesel yang meningkat secara ketara kepada RM5 seliter mulai April 2026, nilai penjimatan itu dijangka terus meningkat dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah sendiri.
Dalam jangka panjang, kerajaan merancang menamatkan loji diesel dan bahan api sederhana secara berperingkat dalam tempoh lima tahun, digantikan kepada gas asli dan tenaga boleh diperbaharui.
Beliau menambah, pendekatan baharu melalui entiti 'Single Buyer Sabah' di bawah seliaan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah akan memastikan perolehan tenaga dibuat pada kos yang paling rendah.
"Ini meningkatkan ketelusan dan daya saing industri elektrik, dengan kerajaan negeri kekal komited memastikan bekalan yang mampan, stabil dan mampu milik untuk rakyat Sabah,” katanya. - DagangNews.com








