KUALA LUMPUR 7 Mac - Hasil sektor perladangan pada suku pertama 2025 (1Q25) dianggar lebih rendah kesan kos pengeluaran yang lebih tinggi merangkumi pelaksanaan gaji minimun RM1,700 bermula 1 Februari lalu selain terdapat lebihan simpanan minyak sawit mentah (MSM).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, walaupun purata harga jualan (ASP) MSM lebih tinggi sebanyak RM4,705 setiap tan berbanding ramalan RM4,000 setiap tan untuk tahun ini, ia tidak mungkin melebihi kitaran keluaran rendah bermusim.
"Bagaimanapun, kami yakin hasil sektor bagi tahun penuh 2025 meningkat 12% didorong sebahagiannya oleh prospek industri hiliran lebih baik serta pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi.
"Ia khususnya melibatkan penanam yang memiliki pendedahan yang lebih tinggi di Indonesia seperti TSH Resources Berhad, SD Guthrie Berhad, Genting Plantations Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Berhad," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, pendapatan yang lebih kukuh pada suku keempat 2024 dirangsang oleh ASP MSM dan isirung sawit (PK) yang kukuh selain kekurangan bekalan minyak sawit terutamnya di Indonesia yang terjejas oleh keadaan biologi pokok dan fenomena El Nino pada 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, harga yang lebih tinggi pada suku keempat 2024 lebih daripada mengimbangi pertumbuhan keluaran BTS YoY secara amnya lebih rendah yang dialami oleh sektor tersebut.
Katanya, walaupun segmen huluan menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada yang dijangkakan untuk kebanyakan penanam, terdapat pengecualian kerana KLK dan TH Plantations terlepas jangkaan disebabkan beberapa jualan hadapan yang dilakukan sebelum kenaikan harga MSM pada akhir tahun.
Bagi segmen hiliran, KLK dan IOI Corp Berhad mengalami kerugian dengan sebahagiannya disebabkan kerugian nilai wajar pada instrumen kewangan derivatif.
"Menjelang 2025, kami menjangkakan prospek segmen hiliran bertambah baik terutamanya segmen oleokimia.
"Mengenai strategi ke hadapan, pemain bersepadu seperti IOI dan KLK akan terus mengekalkan strategi jualan hadapan kerana komitmen eksport segmen hiliran mereka," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu. - DagangNews.com








