Kos bahan mentah tinggi ancam pertumbuhan Enconpile, penganalisis khuatir projek berisiko tertangguh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan mentah tinggi ancam pertumbuhan Enconpile, penganalisis khuatir projek berisiko tertangguh

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 Mei — Kenaikan harga bahan mentah seperti bitumen serta ketidaktentuan di Timur Tengah mula memberi tekanan kepada pemain pembinaan tempatan termasuk Econpile Holdings Berhad.



Penganalisis turut khuatir situasi tersebut akan memberi kesan besar apabila projek mega berisiko ditangguhkan, namun mereka masih lagi optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan berkenaan.


Firma penyelidikan itu juga mengekalkan pandangan positif meskipun prestasi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) menunjukkan keuntungan yang sederhana akibat persekitaran kos tinggi.


"Kami tidak mengubah saranan 'tambah' terhadap saham Econpile dengan harga sasaran (TP) 24 sen sesaham selepas keputusan 3QFY26 disifatkan memenuhi jangkaan," kata CGS International (CGSI).


Bagi suku tersebut, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih teras RM0.6 juta berbanding RM1.7 juta pada suku sebelumnya, menjadikan keuntungan terkumpul sembilan bulan (9MFY26) sebanyak RM3.6 juta.


Pendapatan suku ketiga pula ujarnya, susut 7% suku ke suku (QoQ) kepada RM89.6 juta berikutan kemajuan kerja pembinaan yang perlahan, dipengaruhi musim perayaan dan ketegangan di Timur Tengah.


Margin untung kasar (GPM) Econpile namun naik kepada 10.3% berbanding 9.3% pada suku sebelumnya, meskipun CGSI menjangkakan ia kembali tertekan dalam 4QFY26 akibat peningkatan kos bahan mentah.


“Malah dalam senario terburuk sekiranya bekalan bahan binaan terus terganggu, syarikat tersebut mungkin mempertimbangkan penggunaan klausa 'force majeure' atau situasi luar jangkaan,” jelasnya.


Menurut firma penyelidikan itu, buku tempahan semasa kumpulan bernilai RM576 juta setakat Mac 2026 dan syarikat tersebut sedang berbincang dengan pelanggan berkaitan perkongsian kos tambahan.


CGSI turut menegaskan aliran tunai Econpile masih stabil dengan hutang bersih rendah sebanyak RM1.7 juta serta pembayaran pelanggan yang kekal lancar, khususnya daripada pemaju jenis Tier-1.


Justeru, ia berpandangan yang saham kumpulan berkenaan kini terlebih jual apabila diniagakan sekitar 0.5 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV), iaitu pada paras paling rendah sejak 2022.

 


Projek SKL Mungkin Tertangguh Ke 2027

Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat tersebut dengan TP yang tidak berubah iaitu 27 sen sesaham walaupun menurunkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28.


"Keuntungan teras Econpile bagi tempoh 9MFY26 sebanyak RM3.5 juta hanya memenuhi 71% unjuran tahun penuh kami disebabkan andaian pengebilan kemajuan projek yang terlalu optimistik," tambahnya.


Bagaimanapun ia melihat prestasi operasi semakin pulih apabila hasil 3QFY26 meningkat 49% kepada RM90 juta susulan pelaksanaan projek lebih baik selepas isu kelewatan kelulusan pihak berkuasa.


Kata RHB Research, margin keuntungan kasar Econpile kira-kira 10.3% yang dicatatkan juga jauh lebih baik berbanding paras tertinggi sekitar 7.5% yang direkodkan sepanjang FY23 dan FY24.


Firma itu namun memberi amaran mengenai projek lebuh raya Sungai Klang Link (SKL) berpotensi ditunda ke tahun depan susulan kenaikan mendadak harga bitumen sebanyak 50.6% pada Mac 2026.


“Perjanjian Econpile dan pemaju SKL juga sudah dilanjutkan sehingga Februari 2027, sekali gus memberi petunjuk projek itu mungkin mengambil masa lebih panjang untuk dimulakan,” katanya.


RHB Research berkata, kumpulan itu masih ada prospek pertumbuhan melalui pembangunan industri termasuk di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain projek infrastruktur kerajaan.


Setakat akhir 3QFY26, buku tempahan terkumpul Econpile meningkat kepada RM576 juta berbanding RM404 juta setahun lalu, manakala nilai tender semasa mencecah RM1 bilion. - DagangNews.com