Kos bahan binaan naik sehingga 35% ancam sektor pembinaan — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan binaan naik sehingga 35% ancam sektor pembinaan — MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 April — Peningkatan kos bahan binaan sehingga 35% disebabkan kenaikan harga minyak mentah global kini menjadi risiko utama terhadap keuntungan syarikat pembinaan, menurut MBSB Research.


Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut dalam nota analisis sektor hari ini, impak lonjakan tinggi berkenaan dijangka masih lagi terkawal pada paras antara dua hingga lima mata peratusan.


Jelasnya, tekanan kos pada ketika ini didorong terutamanya oleh peningkatan kos pengangkutan, khususnya harga diesel yang melonjak secara mendadak dalam tempoh singkat di Semenanjung Malaysia.


"Walaupun kos naik, struktur kontrak dan klausa variasi harga (VOP) membantu kontraktor memindah sebahagian kos kepada pelanggan, dan mengehadkan kesan terhadap keuntungan," kata MBSB Research.


Analisis sensitiviti firma itu menunjukkan impak margin bersih sekitar dua hingga lima mata peratusan, dengan anggapan sebahagian kontrak tidak dapat memindahkan sepenuhnya kenaikan kos.


Tambahnya lagi, risiko adalah lebih ketara bagi projek yang jenis kontrak harga tetap, namun kebanyakan kontraktor besar masih mempunyai ‘penampan’ kos serta perlindungan kontrak lebih kukuh.


Ujar MBSB Research, peningkatan kos logistik dikenal pasti sebagai isu utama apabila lori 'tipper' tidak termasuk dalam skim subsidi bahan api kerajaan, sekali gus meningkatkan risiko kelewatan projek.

 

sektor pembinaan_DagangNews


"Dari sudut prospek, kami kekal positif terhadap sektor pembinaan disokong buku tempahan kukuh yang memberi keterlihatan pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027," kata firma tersebut.


Pertumbuhan sektor ini jelasnya, diramal berterusan meskipun terdapat tanda penyederhanaan susulan pengurangan perbelanjaan kerajaan di bawah Belanjawan 2026 dan kelewatan pelaksanaan projek mega.


MBSB Research namun yakin, pelaksanaan berterusan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta permintaan kukuh terhadap pusat data (DC) dijangka menjadi pemacu utama.


Di peringkat syarikat, kontraktor besar seperti Gamuda Berhad dan IJM Corporation Berhad dilihat lebih berdaya tahan berikutan pendedahan tinggi kepada projek luar negara berasaskan 'cost-plus'.


"Sementara itu, Sunway Construction Group Berhad (SunCon) kurang terkesan disebabkan pendekatan konservatif dalam pengiktirafan margin serta imbangan kontrak yang lebih baik," jelas firma itu.


Bagi sektor bahan binaan, Malayan Cement Berhad dilihat MBSB Research, sebagai penerima manfaat utama berikutan harga arang batu dari Indonesia yang lebih stabil membantu syarikat berkenaan.


Sehubungan itu, ia mengekalkan pandangan positif terhadap sektor ini dengan pilihan utama terdiri Gamuda, SunCon, IJM dan Malayan Cement, disokong permintaan kukuh projek besar. - DagangNews.com