Kos alumina rendah, permintaan logam global tinggi diyakini pacu pertumbuhan Press Metal - penganalisis  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos alumina rendah, permintaan logam global tinggi diyakini pacu pertumbuhan Press Metal - penganalisis 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Kos alumina rendah dan permintaan logam ringan global yang kukuh bakal mendorong pertumbuhan Press Metal Aluminium Holdings Bhd.

 

Penganalisis berkata, kos alumina rendah bakal meningkatkan margin kumpulan dan menjangkakan Press Metal akan menrima lebih banyak permintaan logam ringan memandangkan produk itu digunakan secara meluas dalam pembungkusan makanan, komponen pesawat dan bahagian automotif.

 

Press Metal, peleburan aluminium terbesar di Asia Tenggara, mencatat keuntungan bersih sebanyak RM445.27 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY2024), mewakili lonjakan 39%.

 

Keuntungan bersih setahun penuh kumpulan pula meningkat 45% kepada paras tertinggi baharu sebanyak RM1.76 bilion.

 

Berikutan prestasi kewangan Press Metal baru-baru ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) yakin kumpulan itu akan meningkatkan pertumbuhan kukuh pada 2025.

 

Firma penyelidikan itu mengekalakan saranan "beli" kepada saham Press Metal.

 

Harga alumina merosot sebanyak 28% setakat tahun ini kepada AS$485 setan daripada kemuncaknya pada Disember 2024 apabila bekalan bauksit dari Australia, Guinea dan Brazil terganggu.

 

Kini terdapat 13 panggilan "beli", satu "tahan" dan tiada panggilan "jual" dalam kalangan firma penyelidikan yang meliputi Press Metal.

 

Purata harga sasaran (TP) ialah RM6.22 sesaham, menurut Bloomberg, menunjukkan potensi pulangan sehingga 21% dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Sehubungan dengan itu, RHB Research meramalkan harga alumina akan terus menyederhana pada 2025 apabila kapasiti pengeluaran meningkat di Indonesia.

 

"Walaupun harga aluminium stabil, terdapat lebih banyak potensi peningkatan.

 

"Ini kerana China, pengeluar aluminium terbesar di dunia mempunyai ruang terhad untuk meningkatkan pengeluarannya yang menghampiri had kapasiti tahunan," katanya. - DagangNews.com