Kontrak terbaharu T7 Global diunjur menyumbang untung bersih antara RM2 juta hingga RM4 juta bagi tempoh 5 tahun - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak terbaharu T7 Global diunjur menyumbang untung bersih antara RM2 juta hingga RM4 juta bagi tempoh 5 tahun - Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Kejayaan T7 Global Bhd meraih kontrak terbaharu daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd diunjur menyumbang untung bersih antara RM2 juta hingga RM4 juta bagi tempoh lima tahun.

 

Phillip Capital berkata, kemenangan itu menyaksikan nilai kontrak dijamin setakat ini berjumlah RM1 bilion dan menjadikan buku pesanan terkini berada pada paras RM5.4 bilion.

 

Katanya, berdasarkan margin keuntungan selepas cukai, zakat dan faedah minoriti (PATAMI) gabungan kumpulan sebanyak 6%, kontrak itu bakal menyumbang hasil antara RM12 juta hingga RM18 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

"Kami menganggarkan nilai kontrak berjumlah antara RM200 juta hingga RM300 juta.

 

"Kami mengekalkan pandangan positif kami terhadap prospek pertumbuhan pendapatan T7 untuk 2025, disokong oleh dua MOPU, kerja MCM, kerja palam & pengabaian (P&A) dan pengiktirafan hasil yang lebih cepat untuk projek sistem pengendalian bagasi (BHS)," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: T7 Global raih kontrak daripada EnQuest Petroleum, sediakan perkhidmatan penyelenggaraan luar pesisir

 

Firma penyelidikan itu menyukai T7 Global kerana prospek pendapatannya yang positif, disokong buku pesanannya yang besar, terutamanya terdiri daripada pakej MOPU dan Pan Malaysia yang menyediakan keterlihatan pendapatan jangka panjang.

 

Katanya, mereka tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kerana kemenangan itu terletak di bawah andaian penambahan buku pesanan semasa.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 66 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com