Kontrak sewaan pelantar penggerudian pihak ketiga dijangka tingkatkan keuntungan FY26 Velesto sebanyak 4% - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak sewaan pelantar penggerudian pihak ketiga dijangka tingkatkan keuntungan FY26 Velesto sebanyak 4% - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mei - Velesto Energy Berhad dijangka mencatat peningkatan pendapatan bagi tahun kewangan 2026 (FY26) susulan kejayaannya memperoleh kontrak sewaan pelantar penggerudian pihak ketiga (rig asset-light) pertama daripada Hibiscus Petroleum Berhad.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) berkata, kontrak tersebut dijangka meningkatkan pendapatan FY26 Velesto sekitar empat peratus, walaupun semakan unjuran dibuat secara sederhana selepas mengambil kira pelupusan aset unit hydraulic workover syarikat itu.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 1.9% dan 0.7% berikutan sumbangan positif daripada kontrak baharu tersebut.

 

Menurut HLIB, kemenangan kontrak itu dilihat signifikan kerana ia merupakan kontrak pertama Velesto di bawah model sewaan rig pihak ketiga, sekali gus memperkukuh strategi syarikat untuk beralih kepada model operasi lebih ringan aset.

 

Katanya, pendekatan itu membolehkan Velesto memperluaskan pasaran yang boleh diterokai serta menyertai lebih banyak kempen penggerudian tanpa memerlukan perbelanjaan modal besar untuk memiliki rig baharu.

 

“Kami difahamkan Velesto telah memperoleh hak pemasaran bagi lebih daripada satu rig pihak ketiga, yang akan meningkatkan keupayaan syarikat membida lebih banyak peluang sewaan pada masa hadapan dan berpotensi mengembangkan model perniagaan ini secara berperingkat,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB bagaimanapun berkata, kenaikan harga saham Velesto sejak kebelakangan ini menyebabkan profil risiko dan pulangan saham tersebut kini lebih seimbang.

 

Firma itu turut mengekalkan pandangan positif terhadap kedudukan kewangan Velesto yang semakin kukuh serta potensi pembayaran dividen yang lebih baik selepas pelaksanaan pengurangan modal selesai.

 

Namun begitu, HLIB percaya kebanyakan pemangkin positif tersebut telah pun diambil kira dalam harga saham semasa.

 

Sehubungan itu, HLIB menurunkan penarafan saham Velesto kepada “Pegangan” daripada “Beli” sebelum ini dengan harga sasaran kekal pada 29 sen.

 

Dalam masa sama, prospek industri penggerudian tempatan dijangka terus menyokong prestasi Velesto sehingga 2028.

 

Berdasarkan Petronas Activity Outlook 2026-2028, jumlah telaga penggerudian di Malaysia dijangka meningkat daripada 142 telaga pada 2025 kepada 180 telaga menjelang 2027 hingga 2028.

 

HLIB berkata, pertumbuhan itu akan dipacu oleh aktiviti pembangunan medan minyak dan kerja plug and abandonment (P&A) yang berterusan, sekali gus menyokong permintaan terhadap rig jack-up serta meningkatkan kadar penggunaan aset Velesto.

 

“Kami percaya margin operasi Velesto akan terus kekal kukuh pada FY26 disokong oleh rasionalisasi kos overhed, struktur kos operasi lebih cekap dan ketiadaan gangguan berkaitan sistem subsea seperti sebelum ini,” katanya. - DagangNews.com