Kontrak RM214 juta KLIA Aeropolis dijangka lonjak prestasi cemerlang AME Elite - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak RM214 juta KLIA Aeropolis dijangka lonjak prestasi cemerlang AME Elite - RHB Research

KLIA Aeropolis
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac – AME Elite Consortium Berhad dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh dalam tempoh terdekat disokong oleh projek pembangunan taman perindustrian strategik, kontrak pembinaan bernilai tinggi, serta pengembangan tanah milik syarikat, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan cadangan Beli ke atas saham AME dengan harga sasaran baharu RM2.30, menawarkan potensi kenaikan 54 peratus daripada harga semasa RM1.49.

 

“Syarikat itu merupakan pemain utama di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan sedang melebarkan operasinya ke Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi merebut  permintaan tinggi daripada syarikat multinasional serta pengeluar tempatan. 

 

“Antara projek utama yang menyokong pertumbuhan AME adalah i-TechValley, i-Park @ Coalfield, Northern TechValley, dan i-TechHub Taman Teknologi,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

AME turut memperkukuh tanah miliknya di Johor dengan pembelian 31.8 ekar di Senai yang dijangka memberikan jumlah nilai pembangunan kasar sekitar RM350 juta.

 

Tambahan pula, syarikat baru-baru ini memenangi kontrak pembinaan RM214 juta di KLIA Aeropolis untuk membina fasiliti ujian enjin pesawat, menyokong pendapatan bagi tahun kewangan yang akan datang. 

 

t

 

RHB Research berkata jumlah tender semasa AME berjumlah RM800 juta, menunjukkan aliran kerja yang stabil.

 

“Dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, jualan baharu AME mencecah RM416 juta, melepasi sasaran pengurusan sebanyak RM400 juta. 

 

“Selain itu, jualan lima hartanah industri di i-TechValley kepada CapitaLand Malaysia Trust bernilai RM220.8 juta, manakala projek Northern TechValley dan i-Park @ Coalfield dijangka menyumbang jualan bagi tahun kewangan berikutnya,” kata firma tersebut.

 

Dari segi dividen, AME telah mengumumkan dividen khas 2 sen serta interim 4 sen bagi suku kedua tahun kewangan 2026. RHB Research menjangkakan dividen akhir tahun yang konsisten, menjadikan jumlah dividen setahun sekitar 12 sen atau hasil dividen hampir 8 peratus. 

 

Kedudukan tunai yang kukuh membolehkan syarikat membiayai projek baharu tanpa bergantung tinggi kepada pinjaman.

 

RHB Research turut menekankan aspek alam sekitar dan tadbir urus AME dengan skor 3.1 daripada 4. Syarikat mengekalkan kawasan hijau dalam projek, membina mengikut piawaian bangunan hijau, menggunakan tenaga solar di tapak pembinaan, menitikberatkan keselamatan tapak kerja bersijil OHSAS 18001, serta mengamalkan tadbir urus telus dengan separuh ahli lembaga pengarah bebas.

 

Secara keseluruhan, RHB Research  melihat AME sebagai pelaburan menarik dalam sektor pembinaan dan pembangunan taman perindustrian, dengan pertumbuhan disokong projek baharu, pembelian tanah strategik, dan kontrak pembinaan yang stabil. 

 

Risiko utama termasuk kelembapan ekonomi dan perubahan dasar pelaburan asing yang tidak menguntungkan. - DagangNews.com