Kontrak pembinaan RM49 juta di Port Dickson tingkatkan buku tempahan Inta Bina kepada RM1.8 bilion, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak pembinaan RM49 juta di Port Dickson tingkatkan buku tempahan Inta Bina kepada RM1.8 bilion, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Mac – Dalam keadaan persaingan tender projek pembinaan semakin sengit, Inta Bina Group Berhad berjaya memulakan tahun kewangan 2026 dengan kontrak baharu bernilai RM49 juta.


Menurut penganalisis, kemenangan bagi kerja-kerja pembinaan bangunan utama di Mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan itu turut mengukuhkan buku tempahan dan keterlihatan pendapatan syarikat.


Projek itu melibatkan pembangunan Eco Business Park 7, merangkumi pembinaan 96 unit kilang kluster bersaiz minimum, serta enam pencawang elektrik dengan tempoh pelaksanaan kerja selama 18 bulan.


Malacca Securities menyifatkan kejayaan Inta Bina memperoleh kontrak tersebut menjadikan jumlah buku tempahan terkumpul meningkat kepada RM1.8 bilion, bersamaan 2.4 kali ganda hasil bagi FY25.


"Situasi tahap buku tempahan yang kukuh ini dinilai akan terus menyokong keterlihatan pendapatan syarikat pembinaan ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang," kata firma penyelidikan tersebut.


Secara keseluruhannya tambah firma berkenaan dalam nota kajiannya hari ini, kontrak itu dilihat masih sejajar dengan jenis projek pembinaan biasa yang pernah dilaksanakan oleh kumpulan tersebut.


Justeru, Malacca Securities masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Inta Bina dengan harga sasaran (TP) sesaham 76 sen, berdasarkan penilaian 11 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E).

 

Inta Bina


Sementara itu, TA Securities dalam analisisnya turut mengekalkan penarafan 'beli' dengan TP yang tidak berubah iaitu 78 sen, berdasarkan unjuran lapan kali P/E bagi tahun kalendar 2027 (CY27).


"Kemenangan kontrak ini meningkatkan buku tempahan terkumpul bersamaan kira-kira 2.9 kali ganda hasil pembinaan FY25, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh," katanya.


Projek terbaharu itu jelasnya, diperoleh daripada pelanggan berulang dan dijangka mengekalkan margin keuntungan yang selaras dengan projek pembinaan bangunan utama syarikat sebelum ini.


TA Securities berpendapat, dengan andaian margin bersih sekitar 5%, projek berkenaan berpotensi menyumbang kira-kira RM2.5 juta keuntungan bersih kepada Inta Bina sepanjang tempoh pembinaan.


Tender pembangunan tersebut jelas firma itu, merupakan kemenangan kontrak pertama bagi FY26 dan menandakan permulaan yang positif kepada pengisian semula buku tempahan syarikat pada tahun ini.


"Kami opotimis menyatakan bahawa kumpulan itu kini mempunyai buku tender sekitar RM4.9 bilion, yang dijangka menyokong sasaran pengisian kontrak baharu sekitar RM850 juta bagi FY26," tambahnya.


Selain itu ujar TA Securities, Inta Bina dinilai kekal sebagai antara penerima manfaat utama daripada kekuatan sektor hartanah domestik, disokong oleh buku tempahan syarikat yang lebih kukuh.


Di samping itu kata firma penyelidikan berkenaan, prospek peningkatan keuntungan pada masa hadapan terhadap kumpulan ini juga adalah baik dalam jangka sederhana. - DagangNews.com