Kontrak LSS6 dijangka dianugerahkan pada 2H2027 dengan nilai projek solar RM8 bilion hingga RM9 bilion – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak LSS6 dijangka dianugerahkan pada 2H2027 dengan nilai projek solar RM8 bilion hingga RM9 bilion – Maybank IB

Gambar hiasan - Unsplash.com
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Fasa keenam Program Solar Berskala Besar (LSS6) dijangka membuka peluang bernilai antara RM8 bilion hingga RM9 bilion kepada syarikat yang terlibat dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), menurut Maybank Investment.

 

Firma penyelidikan itu berkata prospek itu disokong oleh ciri baharu LSS6 yang menjadi program solar berskala besar pertama mewajibkan integrasi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

 

Langkah itu dijangka meningkatkan kapasiti tenaga solar negara sebanyak 1.2 gigawatt (GW) daripada kapasiti semasa 2.5GW, sekali gus membuka peluang pendapatan tambahan kepada pemain industri.

 

Proses bidaan bagi LSS6 dijangka berlangsung dari Julai hingga Ogos 2026 manakala pengumuman syarikat yang berjaya disenarai pendek dijangka dibuat pada separuh pertama 2027 (1H2027) sebelum kontrak dianugerahkan pada separuh kedua tahun sama (2H2027).

 

“Pada pandangan kami, perkembangan ini akan menyediakan pengisian semula buku tempahan yang tepat pada masanya kepada kebanyakan kontraktor EPCC, memandangkan projek LSS5 dijangka siap menjelang akhir 2027,” kata Maybank dalam nota kajiannya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kontraktor EPCC dijangka menjadi antara penerima manfaat utama berikutan gelombang peluang kontrak daripada LSS6 selain potensi projek baharu menerusi Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

 

Maybank berkata walaupun persaingan bidaan dijangka sengit, kadar pulangan dalaman ekuiti (IRR) dijangka kekal dalam lingkungan 8% hingga 12% berikutan risiko projek yang lebih rendah dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bertindak sebagai pembeli tenaga.

 

Susulan prospek positif itu, Maybank memilih Solarvest Holdings Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor tenaga boleh baharu yang diberikan penarafan ‘overweight’.

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘beli’ terhadap Solarvest dengan harga sasaran RM4.31, disokong kedudukan syarikat itu sebagai pemain utama dalam industri solar dengan pegangan pasaran kira-kira 30%.

 

Selain Solarvest, Maybank turut memberikan penarafan ‘beli’ kepada Pekat Group Bhd dan BM Greentech Bhd dengan harga sasaran masing-masing RM2.31 dan RM2.18.

 

“Kami percaya penender yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam projek ladang solar serta simpanan tanah di kawasan yang mencatat peningkatan permintaan tenaga seperti wilayah selatan akan mempunyai kelebihan bagi mengoptimumkan perancangan penjanaan dan penghantaran tenaga,” katanya.

 

Bagaimanapun, Maybank memberi amaran beberapa risiko masih perlu diberi perhatian termasuk perubahan dasar yang tidak dijangka, peningkatan turun naik harga bahan mentah serta persaingan pasaran yang boleh menjejaskan prestasi pendapatan syarikat.

 

Secara keseluruhannya, Maybank melihat LSS6 sebagai pemangkin baharu kepada industri tenaga boleh baharu negara, khususnya kepada syarikat yang mempunyai pengalaman membangunkan projek solar dan keupayaan melaksanakan kerja EPCC. - DagangNews.com