KUALA LUMPUR 17 Julai — Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyasarkan indeks FBM KLCI berpotensi meneruskan kenaikan mencecah paras antara 1,730 hingga 1,750 mata dalam tempoh terdekat.
Unjuran itu disokong kemasukan semula dana asing dan asas ekonomi domestik yang kukuh, di samping berpandangan Malaysia kini berada dalam kedudukan lebih baik berbanding kebanyakan pasaran Asia.
Katanya, indeks penanda aras itu masih stabil meskipun pasaran serantau dibelenggu ketegangan geopolitik, kelemahan sektor teknologi global dan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang tinggi
"Sentimen pelabur di bursa serantau terjejas susulan ketidaktentuan di Timur Tengah, kenaikan harga minyak mentah serta pembetulan menyeluruh saham semikonduktor," kata HLIB dalam analisisnya.
Setakat ini, pasaran Korea Selatan mencatat prestasi paling lemah dengan kejatuhan 6.37%, diikuti Jepun (-2.79%) dan China (-1.85%), sekali gus mencerminkan tekanan jualan yang melanda kebanyakan bursa.
Sentimen turut dipengaruhi tindakan Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) menaikkan unjuran perbelanjaan modal (capex) 2026 yang mencetuskan kebimbangan sama ada pulangan akan lebih baik.

Selain itu ujar HLIB, tindakan Bank Pusat Korea Selatan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas serta pertumbuhan ekonomi China yang perlahan menambah tekanan terhadap sentimen pelaburan.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan perhatian pelabur kini beralih kepada keputusan kewangan syarikat teknologi utama dengan keuntungan syarikat dalam indeks S&P 500 dijangka berkembang 23%," katanya.
Di sebalik tekanan luaran itu, Bursa Malaysia terus mencatat prestasi lebih baik apabila FBM KLCI naik kira-kira 0.49% kepada 1,722.2 mata, disokong jangkaan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Minat belian semula pelabur asing turut membantu pasaran tempatan dengan merekodkan aliran masuk bersih RM238 juta, dan menandakan sesi belian keenam dalam tempoh tujuh hari dagangan terakhir.
HLIB menambah, pelabur asing mencatat jualan bersih sebanyak RM2.45 bilion sejak awal tahun ini, manakala institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing menjual bersih RM88 juta dan RM150 juta.
"Dari sudut teknikal, momentum pemulihan FBM KLCI semakin kukuh selepas berjaya melepasi purata pergerakan 50 hari dan 200 hari, namun aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku," katanya.
Pada masa sama, pelabur perlu berwaspada terhadap risiko di Timur Tengah, ketidaktentuan rantaian bekalan global, dan kadar faedah di AS yang mengehadkan kenaikan pasaran. - DagangNews.com








