KUALA LUMPUR 17 Julai - Kerajaan Sarawak memperkasakan industri nanas negeri dengan menggunakan pendekatan pembangunan berasaskan zon, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Katanya, menerusi kaedah itu setiap zon akan ditentukan jenis varieti nanas dengan mengambil kira kesesuaian tanah serta potensi setiap kawasan.
Tambahnya, bagi pembangunan industri nanas di wilayah utara negeri itu, varieti Sarawak Gold One (SG1) dipilih sebagai pemangkin utama dalam usaha memperkukuh sektor berkenaan secara lebih tersusun dan mampan.
"Strategi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membangunkan industri nanas bukan sahaja dari aspek penanaman, tetapi melibatkan keseluruhan rantaian nilai bagi meningkatkan daya saing industri," katanya lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).
Sebelum itu, Stephen Rundi mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ning Planters Farm di Tukau, Miri.
Beliau berkata, pembangunan industri nanas di Zon Tengah yang merangkumi Sibu, Mukah dan Sarikei akan menggunakan gabungan beberapa varieti yang bersesuaian, manakala Zon Selatan pula akan memberi fokus kepada varieti seperti MD2 dan N36.
Dr Rundi berkata, pendekatan pembangunan mengikut zon itu membolehkan setiap kawasan memanfaatkan kelebihan masing-masing berdasarkan faktor tanah, iklim dan potensi pengeluaran.
Menurutnya, pembangunan industri nanas Sarawak kini memasuki fasa lebih menyeluruh dengan tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada aktiviti penanaman.
Sebaliknya, ia turut merangkumi aspek pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan, pemasaran serta penerapan teknologi moden bagi memastikan pengeluaran nanas yang konsisten dan berkualiti tinggi.
Beliau berkata, usaha memperkukuh rantaian nilai industri itu dijangka meningkatkan daya saing pengusaha nanas tempatan, selain mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada petani serta usahawan negeri.
"Pendekatan ini dapat meningkatkan daya saing industri nanas Sarawak, di samping membuka ruang ekonomi baharu kepada petani dan usahawan tempatan," katanya.
Langkah pembangunan industri nanas secara bersepadu itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh sektor agromakanan negeri melalui pengeluaran komoditi bernilai tinggi serta meningkatkan penglibatan pemain industri tempatan dalam rantaian bekalan. - DagangNews.com








