KUALA LUMPUR 4 Jun — Di sebalik persaingan sengit dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), Pekat Group Berhad dilihat terus kukuh memanfaatkan 'gelombang' pelaburan solar berskala besar (LSS).
Menurut penganalisis, nilai kontrak menerusi pelbagai projek berkenaan yang diraih syarikat itu meningkat lebih dua kali ganda, sekali gus berjaya mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjangnya.
Sentimen positif itu turut dikongsi dua firma penyelidikan yang terus mengekalkan saranan 'beli' bersandarkan kekuatan buku tempahan semasa, prospek kontrak baharu serta pertumbuhan perniagaan.
Antaranya MBSB Research yang menilai kejayaan anak syarikatnya, Pekat Solar Sdn Bhd memeterai perjanjian tambahan projek kemudahan penjanaan tenaga LSS di Kulai, Johor pada 29 Mei 2026.
"Nilai kontrak berkenaan sudah disemak kepada RM186.5 juta berbanding RM85.7 juta sebelum ini, manakala kapasiti projek meningkat daripada cuma 63MWac kepada 135MWac," jelasnya dalam analisis.
Peningkatan tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, turut menunjukkan berlaku tambahan skop kerja sebanyak 72MWac yang mencecah nilai RM100.9 juta, dan menunjukkan keyakinan ke atas Pekat.
Susulan itu kata MBSB Research, buku tempahan terkumpulnya naik kepada RM861 juta dengan segmen EPE Switchgear berjaya menyumbang bahagian terbesar sebanyak RM347.8 juta atau kira-kira 40.4%.
Ini jelasnya, diikuti segmen solar kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sebanyak RM308.3 juta (35.8%) serta pembumian dan perlindungan kilat (ELP) RM192 juta (22.3%).
"Kami berpandangan prospek pengisian kontrak baharu Pekat adalah kekal memberangsangkan didorong pelaksanaan projek LSS5+, potensi LSS6, dan pertumbuhan pesat pusat data (DC)," tambahnya lagi.
Justeru bersandarkan kedudukan kukuhnya dalam rantaian bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB), MBSB Research mengekalkan saranan dengan harga sasaran (TP) RM2.03 berbanding RM2.00 sebelum ini.
Artikel berkaitan: Pekat raih tambahan projek solar 72MWac di Kulai, nilai keseluruhan kini cecah RM186.54 juta

Pusat Data Bakal Jadi Pemangkin Utama
Sementara itu, Phillip Capital turut mengekalkan saranan sama dengan menetapkan TP untuk tempoh 12 bulan tidak berubah RM2.15 sesaham, mewakili potensi kenaikan lebih 33% daripada harga semasa.
Firma penyelidikan itu berkata, Pekat berada dalam kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada program Solar ATAP dan insentif rebat solar kediaman yang diperkenalkan oleh kerajaan.
"Ia menguasai kira-kira 12% bahagian pasaran solar kediaman dan pernah mencatatkan sehingga 600 pemasangan solar setiap bulan ketika pelaksanaan skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM)," jelasnya.
Program Solar ATAP kata Phillip Capital, berpotensi menjana hasil RM180 juta, manakala rebat SuRIA iaitu RM600 bagi setiap kWac dijangka merangsang permintaan solar rumah pada separuh kedua 2026.
Selain itu ujarnya, aktiviti segmen EPE Switchgear rancak dengan tender suis voltan sederhana yang bernilai RM300 juta dikemukakan kepada TNB dan keputusan dijangka diketahui pada akhir tahun ini.
Berdasarkan sejarah kadar kejayaan bidaan sekitar 30% hingga 40%, firma penyelidikan tersebut menganggarkan yang Pekat berpotensi memperoleh kontrak baharu antara RM90 juta hingga RM120 juta.
"Kami turut menjangkakan segmen ELP terus menerima manfaat daripada pertumbuhan pesat industri DC yang memerlukan sistem perlindungan kilat dan pembumian berkapasiti tinggi," kata Phillip Capital.
Secara keseluruhannya, dua firma itu berpandangan Pekat berada pada landasan pertumbuhan kukuh disokong oleh buku tempahan yang besar, peluang kontrak LSS, serta perkembangan sektor DC.
Walaupun berdepan risiko seperti kelewatan pelaksanaan projek, persaingan pasaran dan turun naik harga panel solar, prospek jangka sederhana dilihat kekal positif. - DagangNews.com








