Kontrak baharu insulin kukuhkan pendapatan Pharmaniaga sehingga FY29, TP dinaikkan kepada RM1.44 berbanding RM0.36 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak baharu insulin kukuhkan pendapatan Pharmaniaga sehingga FY29, TP dinaikkan kepada RM1.44 berbanding RM0.36 - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kontrak baharu membekal insulin kepada Kementerian Kesihatan dijangka menyumbang kira-kira RM8 juta kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) Pharmaniaga Berhad bagi FY26, selain menjana sekitar RM16 juta hingga RM17 juta setahun bagi tempoh FY27 hingga FY29, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek pendapatan Pharmaniaga Berhad dijangka semakin kukuh susulan kontrak baharu yang dilihat mampu menyediakan aliran hasil stabil dan boleh diramal sehingga pertengahan 2029.

 

Katanya, kontrak tersebut juga dijangka meningkatkan EBITDA sebanyak 4% pada FY26 dan melonjak sekitar 10% mulai FY27 serta tahun-tahun berikutnya.

 

“Berdasarkan sumbangan pendapatan yang lebih tinggi daripada jangkaan, kami menyemak naik unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 14%, 17% dan 17%.

 

“Seiring semakan itu, kami turut menaikkan harga sasaran kepada RM1.44 berbanding RM0.36 sebelum ini selepas mengambil kira cadangan penyatuan saham lima kepada satu yang dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun kalendar 2026,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Harga sasaran baharu itu disandarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 16.5 kali ke atas pendapatan sesaham (EPS) FY26 yang disemak kepada 8.7 sen.

 

Firma tersebut berkata, penilaian itu selari dengan median PER industri farmaseutikal sekitar 16.5 kali hingga 17 kali, selain turut disokong penilaian EV/EBITDA sebanyak 9.5 kali yang berada dalam julat sejarah antara lapan hingga 10 kali.

 

Katanya, unjuran margin EBITDA sekitar 10% juga dianggap munasabah berdasarkan potensi pertumbuhan operasi syarikat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Dalam masa sama, Pharmaniaga dilihat berada pada landasan tepat untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen biofarmaseutikal menerusi peralihan kepada pengeluaran tempatan bersepadu di fasiliti biofarmaseutikal miliknya.

 

Kilang tersebut disasarkan mampu menghasilkan kira-kira 25 juta kartrij insulin setahun menjelang awal tahun kalendar 2028.

 

“Apabila bekalan insulin beralih daripada aktiviti perdagangan kepada pengeluaran tempatan dalam tempoh dua tahun akan datang, margin EBITDA bagi setiap kartrij dijangka berkembang lebih tinggi.

 

“Ini sekali gus berpotensi memberikan peningkatan yang lebih kukuh kepada anggaran margin EBITDA sebanyak 10%,” katanya.

 

Anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLSB), telah memperoleh kontrak bernilai RM282 juta untuk membekalkan produk perubatan kepada Kementerian Kesihatan. Perolehan ini akan bermula dari Jun CY26 hingga Jun CY29. - DagangNews.com