Konflik Timur Tengah dikhuatiri tekan kos simen, margin kontraktor sektor pembinaan — RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konflik Timur Tengah dikhuatiri tekan kos simen, margin kontraktor sektor pembinaan — RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Mac — Konflik berpanjangan di Timur Tengah dikhuatiri akan memberi tekanan kepada kos bahan binaan di Malaysia khususnya simen, menurut analisis terbaharu oleh RHB Research.


Perkembangan tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, sekali gus boleh menjejaskan margin keuntungan kontraktor dalam sektor pembinaan tempatan untuk menyerap peningkatan harga semasa. 


Kenaikan kos logistik susulan peningkatan harga bahan api akibat konflik itu boleh melonjakkan harga simen, yang ketika ini sudah pun bertambah susulan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat.


"Kos simen, konkrit siap bancuh dan bahan api meliputi 25% daripada kos kontraktor, tetapi peningkatan 10% menjejaskan margin bersih kontraktor hingga 0.5 mata peratusan," kata RHB Research.


Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'owerweight' bagi sektor pembinaan dengan pilihan utama melibatkan Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad.


Daripada 11 syarikat di bawah liputannya yang mengumumkan keputusan kewangan suku terbaharu, empat daripadanya mencatat prestasi melebihi jangkaan termasuk Inta Bina Group Berhad dan MGB Berhad.


RHB Research namun berkata, kontraktor tempatan dijangka kekal sibuk dengan projek sedia ada dan projek baharu apabila nilai kerja pembinaan yang siap meningkat kepada RM46.4 bilion pada 4QFY25.


"Situasi itu menunjukkan peningkatan 10% tahun ke tahun (YoY) dan merupakan rekod paling tinggi setakat ini, dengan aktiviti pembinaan segmen pusat data (DC), diramal kekal aktif," jelasnya.
 

pembinaan


Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai tujuh projek DC yang sudah dimuktamadkan perjanjian bekalan elektrik sehingga akhir Disember 2025 dengan permintaan maksimum tenaga sebanyak 1.2 gigawatt (GW).


Kata RHB Research, berdasarkan anggaran nisbah kecekapan penggunaan tenaga 1.4, kapasiti DC itu dianggarkan sekitar 857 megawatt, yang berpotensi menjana nilai pembinaan kira-kira RM17 bilion.


Selain itu, sektor pembinaan dijangka mendapat manfaat projek infrastruktur utama termasuk tender berkaitan syitem transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM4 billion.


"Segmen 2 projek sama yang menghubungkan KOMTAR dan Penang Sentral dengan nilai sekitar RM5 hingga RM6 bilion, pula dijangka diumumkan pada tempoh separuh kedua 2026," kata firma penyelidikan itu.


Pada masa sama, kerajaan Johor turut mencadangkan pelaksanaan projek transit pantas autonomi (ART) bernilai sekitar RM7 bilion bagi laluan utama sekiranya mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan.


Menurut RHB Research, pemangkin utama sektor berkenaan termasuk pelaksanaan projek transit pantas massa (MRT) versi 3 yang lebih pantas serta pembangunan banyak hab DC baharu di seluruh negara.


Bagaimanapun, firma itu memberi amaran risiko utama melibatkan kelewatan pelaksanaan projek dan kekurangan tenaga kerja dalam industri pembinaan. - DagangNews.com