KUALA LUMPUR 11 Ogos - Meysuarat pemiutang KNM Group Berhad bagi membentangkan skim penyelesaian hutang berjumlah RM1.18 bilion menerima kelulusan daripada pemiutang.
Kumpulan itu berkata, kelulusan itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan pemulihan KNM, yang memberikan penyelesaian yang adil demi manfaat semua pihak berkepentingan.
Skim Pengaturan (SoA) yang dibangunkan melalui perundingan bersama pemiutang utama syarikat, memastikan pemulangan sepenuhnya hutang yang dikompromi berjumlah RM1.18 bilion bagi keseluruhan Kumpulan.
Para pemiutang juga bersetuju untuk mengecualikan faedah dan penalti terkumpul berjumlah RM182 juta setakat tarikh akhir 30 Jun 2023 — satu langkah yang mencerminkan keyakinan mereka terhadap prospek jangka panjang KNM.
Di bawah terma Skim Pengaturan, pemiutang akan menerima:
- Pemulangan 100% daripada prinsipal, mencerminkan usaha penstrukturan kewangan yang kukuh dan bertanggungjawab.
- Penyelesaian melalui penerbitan saham pinjaman boleh tebus tanpa faedah tidak bercagar (RULS) selama lima tahun berjumlah RM204 juta.
Pembayaran balik RULS akan diperoleh daripada:
- Sebarang dana yang dibebaskan daripada akaun eskrow yang dikaitkan dengan penjualan Borsig baru-baru ini kepada NGK Insulators Ltd
- Hasil daripada penjualan tiga aset utama — di Thailand, United Kingdom, dan kemudahan FBM Hudson.
Bagi mengukuhkan keupayaan KNM dalam menyambung semula dan mengembangkan operasi terasnya, pemiutang bersetuju untuk memberikan sokongan kepada syarikat dengan membiayai RM100 juta secara tunai di hadapan, daripada hasil penjualan Borsig, bagi membantu pelaburan pemulihan masa depan KNM.
ARTIKEL BERKAITAN: KNM adakan mesyuarat pemiutang bagi muktamadkan pelan penyelesaian hutang RM1.18 bilion
Dana itu akan digunakan sebagai modal kerja untuk disuntik ke dalam operasi fabrikasi KNM di Malaysia.
Sebagai balasan atas sokongan para pemiutang, KNM akan mempercepatkan pembayaran balik baki RM204 juta yang masih terhutang kepada pemiutang, dengan menggunakan sebarang dana lebihan — melebihi suntikan tunai awal RM100 juta dan sehingga enam bulan keperluan modal kerja — untuk menebus RULS yang masih belum ditebus secara berperingkat.
Pengerusi KNM, Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata, pembiayaan tunai RM100 juta memastikan KNM berada dalam kedudukan yang sangat kukuh untuk membina semula operasi dan mengembangkan perniagaan.
"Ini menandakan titik perubahan penting bagi syarikat," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif KNM Group, Ravindrasingham Balasingham berkata, pihaknya amat bersyukur atas kefahaman dan sokongan berterusan daripada para pemiutang sepanjang tiga tahun mencabar yang lalu, serta penglibatan yang membina bersama pihak pengurusan.
"Keputusan ini mencerminkan kerjasama berterusan dengan para pemiutang dan jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap strategi pemulihan KNM.
"Ia menjamin penyelesaian 100% prinsipal kepada pemiutang dan menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk memastikan pertumbuhan operasi KNM yang agresif di masa hadapan – skim ini amat bermanfaat untuk semua pihak berkepentingan dan menjadi asas kukuh bagi masa depan KNM," katanya. - DagangNews.com








