KNM adakan mesyuarat pemiutang bagi muktamadkan pelan penyelesaian hutang RM1.18 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KNM adakan mesyuarat pemiutang bagi muktamadkan pelan penyelesaian hutang RM1.18 bilion

KUALA LUMPUR 11 Jun - KNM Group Bhd akan mengadakan satu mesyuarat pemiutang bagi membentangkan skim penyelesaian hutang berjumlah RM1.18 bilion.

 

Syarikat perkhidmatan pengurusan itu berkata, skim pengaturan (SoA) yang dicadangkan itu merupakan pencapaian penting dalam pelan pemulihan kewangan KNM, yang menawarkan penyelesaian adil dan mampan kepada semua pihak berkepentingan.

 

"SoA yang dibangunkan dengan kerjasama rapat bersama pemiutang utama, mencadangkan pemulihan penuh jumlah hutang yang dikompromi sebanyak RM1.18 bilion bagi kumpulan gabungan, dengan pemiutang bersetuju untuk mengetepikan faedah terkumpul dan penalti berjumlah RM182 juta setakat tarikh tamat, 30 Jun 2023," katanya dalam satu kenyataan.

 

KNM berkata ,di bawah terma cadangan tersebut, pemiutang akan menerima pemulihan 100% bagi prinsipal, yang mencerminkan usaha penstrukturan kewangan yang kukuh dan bertanggungjawab, serta penyelesaian melalui penerbitan saham pinjaman boleh tebus tanpa faedah tidak bercagar (RULS) selama lima tahun berjumlah RM204 juta.

 

"Bayaran balik RULS akan dibuat melalui gabungan hasil daripada dana yang dikeluarkan dari akaun amanah yang dikaitkan dengan penjualan Borsig baru-baru ini kepada NGK Insulators Ltd, serta hasil daripada penjualan tiga aset — di Thailand, United Kingdom, dan kemudahan FBM Hudson.

 

"Bagi mengukuhkan keupayaan KNM untuk menyambung semula dan mengembangkan operasi terasnya, pemiutang juga bersetuju untuk membenarkan syarikat mengekalkan RM100 juta daripada hasil tunai awal daripada penjualan Borsig.

 

Dana ini akan digunakan sebagai modal kerja untuk menghidupkan semula dan melabur dalam operasi fabrikasi KNM di Malaysia," katanya.

 

KNM berkata, bagi mempercepatkan bayaran balik, syarikat akan menggunakan lebihan dana daripada suntikan tunai awal RM100 juta dan modal kerja untuk tempoh enam bulan bagi menebus RULS yang masih belum ditebus secara berperingkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KNM, Ravindrasingham Balasingham berkata, para pemiutang kumpulan telah memberikan sokongan kepada KNM sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan telah menjalinkan hubungan yang berterusan dengan pihak pengurusan.

 

Beliau berkata SoA ini mencerminkan kerjasama yang berterusan serta keyakinan terhadap KNM.

 

"Ia memastikan penyelesaian 100% bagi prinsipal kepada pemiutang serta menyediakan dana yang diperlukan untuk membina semula operasi masa depan KNM – skim ini amat bermanfaat untuk para pemiutang, pelanggan, pekerja dan pemegang saham KNM," katanya.

 

KNM berkata SoA ini menunjukkan komitmen mereka untuk menunaikan tanggungjawab kewangan selain memastikan syarikat kekal berdaya saing dari segi operasi.

 

"Dengan menyelaraskan kepentingan kedua-dua pihak pemiutang dan pemegang saham, cadangan ini membuka laluan kepada kestabilan jangka panjang dan pertumbuhan perniagaan, khususnya di Malaysia, di mana syarikat kini memfokuskan semula usaha-usahanya," katanya. - DagangNews.com