KNM jual Borsig kepada firma Jepun, NGK Insulators berharga RM1.25 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KNM jual Borsig kepada firma Jepun, NGK Insulators berharga RM1.25 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Syarikat berstatus PN17, KNM Group Bhd menerusi KNM Process Systems Sdn Bhd memeterai perjanjian jual, beli dan pemindahan bersyarat (SPA) bersama firma Jepun, NGK Insulators Ltd bagi bagi menjual Borsig GmbH dengan melupuskan keseluruhan kepentingannya dalam Deutsche KNM GmbH berharga €270 juta (RM1.25 bilion).

 

Kumpulan itu berkata, walaupun penyenaraian adalah strategi pilihan tetapi selepas mengambil kira tekanan hutang yang semakin bertambah, ia merupakan penyelesaian menang-menang kepada semua.

 

"Sebagai pasukan pengurusan yang baharu dilantik, mereka berjaya memperoleh perjanjian yang lebih menguntungkan dengan pertimbangan pelupusan lebih tinggi berbanding €220.8 juta (RM1.03 bilion) pada 2022 dan ia akan digunakan bagi mengurangkan hutang KNM selain meningkatlan fleksibiliti kewangan dan memulakan semula operasinya di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

 

Kumpulan itu berkata, pembeli mempunyai kunci kira-kira yang sangat sihat dan akan dapat menyelesaikan kos pemerolehan dengan cepat kerana mereka tidak memerlukan sebarang pembiayaan luar.

 

Katanya, pelupusan itu sangat positif untuk semua pihak yang terlibat dalam transaksi ini – KNM menerima harga yang sangat berpatutan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KNM batal cadangan jualan Borsig kepada GSV pada RM1.03 bilion, pertimbang laksana langkah lain

 

"NGK mampu mengembangkan jenama Borsig dalam rangkaian produk dan pasaran teknologi hijau dengan memperoleh jenama antarabangsa yang sangat kukuh.

 

"Borsig akan menjadi sebahagian daripada kumpulan NGK akan mendapat manfaat daripada sokongan jenama yang sangat kukuh juga faedah sinergi sangat baik," katanya.

 

Memandangkan perubahan dalam strategi ini, KNM akan menumpukan semula perhatiannya bagi mengembangkan operasi Malaysia secara agresif. Kilang di Melaka dan dua kilang di Gebeng akan digunakan untuk mempromosikan strategi itu.

 

Pelupusan itu menandakan langkah strategik KNM sebagai sebahagian daripada rancangan penyelarasannya untuk menangani status PN17 di Bursa Malaysia. 

 

Sejak Oktober 2022, KNM telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya. KNM telah memperoleh lanjutan daripada Bursa Malaysia untuk memuktamadkan strategi penstrukturan semulanya, sehingga 30 April 2025.

 

"Pelupusan yang dicadangkan itu mewakili langkah penting dalam usaha kami untuk menstabilkan kedudukan kewangan dan menetapkan laluan yang jelas untuk pertumbuhan yang mampan.

 

"Dengan langkah mengurangkan beban hutang, kami meletakkan diri untuk pengembangan masa depan dan pelaburan strategik terutamanya dalam bidang perniagaan teras Malaysia kami," kata Pengerusi KNM, Tunku Datuk Yaacob Khyra.  - DagangNews.com