KLCI lepasi 1,700 mata: Saham Sunway dan IJM kaunter terhangat di Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI lepasi 1,700 mata: Saham Sunway dan IJM kaunter terhangat di Bursa Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Jan – Pasaran saham Malaysia pagi ini meneruskan kenaikan semalam dan berjaya menembusi paras 1,700 mata iaitu paras tertinggi lebih daripada tujuh tahun.

 

Indeks sebelum ini telah meningkat ke 1,680 mata pada 5 Jan, berikutan reaksi positif pelabur terhadap ucapan Tahun Baru 2026 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan agenda reformasi dan pertumbuhan dengan fokus kepada tadbir urus, pelaksanaan, dan sokongan ekonomi jangka pendek.

 

Setakat pukul 9:15 pagi, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mencatat 1,703.47 mata, meningkat 8.03 mata atau 0.47%, menandakan kali pertama indeks kembali melepasi paras 1,700 sejak 1 Mac 2019.

 

Indeks dibuka pada 1,700.74 mata pagi ini dan bergerak menaik, setakat ini mencatat 1,703.47 mata.

 

Jumlah dagangan awal mencatatkan 351.5 juta saham dengan nilai RM239.34 juta. Sepanjang dagangan, 224 saham meningkat, 203 saham susut, manakala 309 saham kekal tidak berubah.

 

Sunway dan IJM

Sunway semalam mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation pada harga RM3.15 sesaham, dengan nilai keseluruhan transaksi RM11 bilion.

 

Kedua-dua kaunter Sunway dan IJM digantung sementara semalam dan hari ini kembali diniagakan. Sunway dibuka tinggi pada RM5.63 sebelum berbalik susut kepada RM5.45, turun 15 sen atau 2.68%.

 

Berbanding itu, IJM dibuka pada RM2.97 tetapi kemudian menurun sebahagian besar kenaikan, setakat ini didagangkan pada RM2.87, naik 12 sen atau 4.36%, dengan jumlah dagangan 17.64 juta saham, menjadikannya saham keempat paling aktif diniagakan.

 

Sunway dalam sidang media semalam menjelaskan syarikat akan mengambil alih IJM menggunakan 90% saham Sunway dan 10% tunai. Setiap 1,000 saham IJM akan memberi hak kepada pemegang saham untuk menerima RM315 tunai dan 501 saham Sunway.

 

Sekiranya pengambilalihan selesai, Sunway tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian IJM.

 

Selain itu, Presiden Sunway Datuk Anuar Thayib berkata, selain membolehkan perniagaan saling melengkapi, skala syarikat yang lebih besar akan menarik lebih banyak pelaburan institusi serta meningkatkan kualiti aset. - DagangNews.com