KUALA LUMPUR 31 Dis - Kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) terkini menunjukkan klasifikasi semasa kumpulan pendapatan 40 Bawah (B40), 40 Tengah (M40) dan 20 Teratas (T20) tidak menggambarkan ekonomi sebenar isi rumah Malaysia.
Sebaliknya, kajian tersebut mendedahkan hanya golongan berpendapatan 30 teratas (T30) menunjukkan corak perbelanjaan kelas pertengahan, manakala 50 Tengah (M50), kumpulan antara B20 dan T30 kekal bergelut dalam perbelanjaannya kerana masih terkesan dengan tekanan ekonomi.
"Penemuan itu menimbulkan persoalan penting mengenai kesahihan persempadanan isi rumah semasa B40, M40, dan T20 yang diterima pakai oleh kerajaan Malaysia," kata KRI dalam satu kenyataan hari ini mengenai kajiannya bertajuk "Searching for the ‘Poor’ dan ‘Middle Class’ in Malaysia,” diterbitkan pada 30 Disember 2024.
Menurut KRI, Malaysia secara konsisten mengikuti persempadanan semula B40/M40/T20 Bank Dunia daripada Rancangan Malaysia Kesembilan kepada Rancangan Malaysia Kesebelas selama hampir 15 tahun, dari 2006 hingga 2020.
“Kebanyakan polisi membandingkan B40 dengan isi rumah miskin dan M40 dengan kelas pertengahan atau ‘isi rumah aspirasi’.
"Sempadan ini mungkin tidak tepat sepenuhnya kerana isi rumah dalam julat ini tidak menunjukkan ciri penggunaan yang sama," katanya.
Sebagai contoh, kajian itu menonjolkan corak penggunaan kumpulan antara B20 dan T30, yang dirujuk sebagai M50, kelihatan agak homogen kerana isi rumah ini masih mengalami pertukaran antara keperluan dan lebih banyak produk aspirasi.
"Isi rumah ini hanya menunjukkan perbezaan kecil daripada kumpulan B20. Sesetengah isi rumah mungkin makan di luar, menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, atau berbelanja lebih untuk perabot rumah.
"M50 ini bukan kelas pertengahan dan masih terdedah kepada tekanan ekonomi," katanya.
KRI berkata, ia lebih tepat untuk menegaskan hanya 30% teratas isi rumah berada dalam kelas pertengahan atau kelas aspirasi, berbanding 60% yang diandaikan sebelum ini.
Dalam ringkasan kertas itu, KRI juga berkata, corak penggunaan M50 mencerminkan kelemahan yang berterusan dan akses terhad kepada barangan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
KRI menggesa pentakrifan semula klasifikasi ekonomi sebenar isi rumah, menggesa penggubal dasar untuk bergerak melangkaui kategori lapuk dan menerima pakai rangka kerja perbelanjaan bersepadu.
"Campur tangan seperti subsidi yang disasarkan untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan, bersama-sama dengan inisiatif penciptaan pekerjaan, adalah penting untuk meningkatkan kestabilan ekonomi kumpulan M50, membolehkan mereka beralih kepada penggunaan aspirasi dan memupuk mobiliti menaik," katanya.
KRI juga menggesa kerajaan untuk mengutamakan kumpulan B20 dengan dasar yang memastikan akses kepada rumah mampu milik, makanan, penjagaan kesihatan dan keperluan asas lain, yang penting untuk menjaga kesejahteraan mereka.- DagangNews.com








