KJ saman focusmalaysia.my, MYNIC berkaitan artikel "10 sebab kenapa KJ tak boleh jadi PM" | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJ saman focusmalaysia.my, MYNIC berkaitan artikel "10 sebab kenapa KJ tak boleh jadi PM"

Khairy Jamaluddin - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memfailkan tindakan sivil terhadap MYNIC Berhad bagi mendapatkan pendedahan identiti pemilik berdaftar sebuah penerbitan dalam talian susulan artikel yang didakwa memfitnahnya.

 

Permohonan itu dibuat bagi mendapatkan maklumat mengenai pemilik domain focusmalaysia.my, yang menerbitkan artikel bertajuk “10 reasons Why KJ isn't PM material, Malaysians must carefully examine his past track record” pada 10 Mac lalu.

 

Artikel berkenaan dikaitkan dengan seorang individu atau entiti yang menggunakan nama samaran “Corruption Watch”.

 

 

 

 

 

Menurut laporan NST, Khairy turut memohon mahkamah mengarahkan MYNIC, selaku pendaftar nama domain .my, mendedahkan identiti pemilik berdaftar, nombor pendaftaran syarikat, alamat, e-mel dan nombor telefon, selain maklumat kontak pentadbiran dan teknikal yang berkaitan dengan domain tersebut.

 

Beliau juga memohon dokumen berkaitan pendaftaran domain itu, termasuk tarikh pendaftaran asal dan tarikh luput, pendaftar yang diakreditasi MYNIC serta rekod sebarang perubahan pemilikan.

 

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat akhbar tersebut, Khairy mendakwa identiti sebenar penulis yang menggunakan nama samaran “Corruption Watch” tidak diketahui dan tidak dapat dikenal pasti tanpa campur tangan mahkamah.

 

Khairy berkata, peguamnya sebelum ini telah menghantar surat tuntutan kepada Focus Malaysia Sdn Bhd pada 13 Mac.

 

Bagaimanapun, syarikat itu menafikan memiliki laman sesawang berkenaan dengan menyatakan bahawa ia telah melupuskan keseluruhan perniagaannya sekitar 2018.

 

MYNIC Tidak Bantah Jika Diarahkan Mahkamah

Dalam afidavit jawapan, MYNIC mengesahkan pihaknya mempunyai maklumat mengenai pemilik berdaftar domain tersebut, termasuk nama, alamat berdaftar, e-mel dan nombor telefon, serta butiran kontak pentadbiran dan teknikal.

 

MYNIC bagaimanapun menyatakan ia tidak membantah untuk mendedahkan maklumat berkenaan sekiranya diarahkan oleh mahkamah.

 

MYNIC turut mendedahkan bahawa syarikat yang didaftarkan sebagai pemilik domain itu pada 10 Mac — tarikh artikel yang didakwa memfitnah Khairy diterbitkan — masih kekal sebagai pemilik berdaftar domain tersebut sehingga kini.

 

Menurut MYNIC, tiada sebarang perubahan terhadap pemilikan berdaftar domain itu antara 10 Mac dan 18 Jun, ketika Khairy memfailkan permohonan berkenaan.

 

Bagaimanapun, MYNIC membantah permohonan untuk mendapatkan surat-menyurat dan komunikasi antara pendaftar domain, pemilik berdaftar serta pendaftar yang diakreditasi.

 

Menurutnya, bahan tersebut tidak relevan atau tidak diperlukan bagi tujuan cadangan prosiding fitnah yang ingin difailkan Khairy.

 

MYNIC turut menegaskan ia hanyalah pihak ketiga yang tidak bersalah dan bukan pihak yang dimaksudkan sebagai defendan dalam cadangan saman fitnah tersebut.

 

 

 

 

 

Sehubungan itu, MYNIC memohon indemniti bagi sebarang kerugian, liabiliti, kos atau tuntutan yang mungkin timbul daripada pematuhan terhadap sebarang perintah pendedahan.

 

Ia juga menuntut kos bagi permohonan berkenaan, termasuk kos yang berkaitan dengan pematuhan terhadap sebarang perintah mahkamah. - DagangNews.com