KUALA LUMPUR 10 Mac — Kumpulan Kitacon Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM89 juta bagi projek pembangunan kediaman di Bandar Tasik Puteri Rawang, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Kitacon Sdn Bhd oleh Rawang Lakes Sdn Bhd.
Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan melibatkan kerja pembinaan dan penyiapan Fasa 6A yang merangkumi 140 unit rumah teres dua tingkat, sebuah rumah pengawal, pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta sebuah rumah kelab dua tingkat.
Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan pembangunan Fasa 6B yang merangkumi 118 unit rumah teres dua tingkat.
Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 16 Mac 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan.
Menurut Kitacon, kontrak tersebut merupakan kemenangan projek pertama syarikat bagi tahun ini dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya sehingga projek itu siap.
Sementara itu, saham Kumpulan Kitacon Bhd ditutup tidak berubah pada paras 70 sen sebelum pengumuman tersebut dibuat, sekali gus memberikan syarikat itu permodalan pasaran sekitar RM350.2 juta. - DagangNews.com








