KUALA LUMPUR 18 Mac – Khee San Bhd kini semakin hampir untuk keluar daripada status Practice Note 17 selepas berjaya melengkapkan pelan penstrukturan semulanya, sekali gus menamatkan tempoh lebih empat tahun berdepan tekanan kewangan.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia semalam, pengeluar konfeksi itu berkata pencapaian tersebut dicapai susulan pelaksanaan Skim Saham Pekerja (ESS), dengan penasihatnya, M&A Securities Sdn Bhd, mengesahkan pematuhan terhadap keperluan penyenaraian bursa.
Khee San sebelum ini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada November 2021 selepas anak syarikat milik penuhnya, Khee San Food Industries Sdn Bhd, memasuki pengurusan kehakiman.
Menurut syarikat itu, penyempurnaan pelan berkenaan merupakan “halangan terakhir dan paling kritikal” dalam usaha penstrukturan semula serta meletakkannya di landasan untuk menormalkan kedudukan kewangan.
Pengarah urusannya, Yong Loong Chen, berkata perkembangan tersebut merupakan satu pencapaian besar yang mengubah hala tuju kumpulan.
“Penyempurnaan pelan penstrukturan semula ini adalah satu pencapaian penting bagi Khee San Bhd.
“Hari ini, kumpulan berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk kembali muncul sebagai peneraju pasaran dalam industri konfeksi,” katanya.
Beliau menambah, syarikat kini akan memberi tumpuan kepada usaha memacu keuntungan mampan, memperkenalkan inovasi produk serta menjana nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan, seiring usaha keluar daripada status PN17.
Khee San, yang terkenal dengan jenama gula-gula warisan, berkata kejayaan penstrukturan ini menandakan permulaan fasa baharu bagi kumpulan itu.
Menurutnya, fokus kini terarah kepada pengukuhan operasi serta membina semula kedudukan di pasaran domestik dan antarabangsa. - DagangNews.com








