KUALA LUMPUR 6 Feb - Khazanah Nasional Bhd menggariskan tiga teras utama bagi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk meningkatkan operasi pengendali lapangan terbang itu pada masa depan.
Pengarah Urusan Khazanah, Amirul Feisal Wan Zahir berkata, tiga objektif itu akan tertumpu kepada pengalaman pelanggan, teknologi dan ketersambungan.
Katanya, bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, MAHB boleh melihat aliran penumpang dengan mengurangkan masa daftar masuk dan masa menunggu.
"Berkenaan ketersambungan, ia perlu dilihat dari perspektif syarikat penerbangan.
"MAHB mungkin mempunyai strategi rangkaian untuk menghubungkan pelbagai pihak dan mungkin boleh menjimatkan masa penumpang untuk transit," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Media Khazanah Annual Review 2025 semalam, seperti laporan Free Malaysia Today.
Di bawah teras teknologi, Amirul Feisal memuji usaha imigresen memperkenalkan MyBorderPass, tetapi menekankan lebih banyak kerja perlu dilakukan untuk memastikan kesedaran dan penggunaan yang meluas.
"Saya telah menggunakan kemudahan itu, tetapi saya rasa masih ada barisan yang panjang. Jadi, ia perlu diteliti semula," katanya.
Mengulas mengenai kepimpinan masa depan MAHB, beliau berkata, masih terlalu awal untuk menentukan senarai pengurusan baharu bagi syarikat itu di tengah-tengah proses pengambilalihan yang sedang berlangsung.
Bulan lepas, konsortium yang dipimpin oleh Khazanah, Gateway Development Alliance Sdn Bhd, mendapat penerimaan sah 94.47 peratus saham terbitan MAHB, membuatkan tawaran pengambilalihan menjadi tidak bersyarat selepas lapan bulan tawaran pengambilalihan itu pertama kali dicadangkan.
Pada Ogos 2024, MAHB melantik bekas Pengarah Eksekutif Pelaburan Khazanah, Datuk Mohd Izani Ghani sebagai Pengarah Urusan syarikat berkenaan. - DagangNews.com








