KUALA LUMPUR 5 Feb - Khazanah mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM5.1 bilion pada 2024 didorong strategi penjanaan wang berdisiplin, pendapatan dividen yang stabil dan peningkatan nilai saksama daripada ekuiti awam global.
Nilai aset bersih (NAV) kumpulan itu pada tahun lalu meningkat kepada RM103.6 bilion berbanding RM84.6 bilion pada 2023, peningkatan ketara sebanyak RM18.8 bilion.
Dari perspektif keseluruhan portfolio Khazanah, pertumbuhan NAV keseluruhan meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM104 bilion pada 2024, mencapai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 5.9%.
Pertumbuhan itu selaras dengan mandat Khazanah untuk menjana pulangan mampan bagi negara sambil meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia.
Walaupun keputusan itu mencerminkan prestasi keseluruhan yang kukuh, prestasi yang relatif lebih lemah diperhatikan dalam Pasaran Swasta disebabkan kesan kadar faedah yang lebih tinggi, pengeluaran pembiayaan yang mencabar dan persekitaran keluar yang sukar.
Khazanah juga mengumumkan dividen sebanyak RM1 bilion pada 2024 kepada Kerajaan Malaysia, menyumbang kepada jumlah terkumpul sebanyak RM19.1 bilion dividen yang dibayar sejak 2004.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, kumpulan mencapai pertumbuhan ketara dalam portfolio mereka pada 2024, didorong prestasi kukuh bagi pelaburan Malaysia, terutamanya pegangan dalam konstituen utama yang mengatasi KLCI, berikutan prestasi yang kukuh dalam pasaran domestik, pertumbuhan berterusan ekuiti awam di pasaran maju dan pemulihan di pasaran yang baru muncul.
"Prestasi positif ini didorong rangka kerja Ekonomi Madani, yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas menunjukkan bagaimana pelaburan strategik dan amalan mampan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ekonomi Malaysia juga menunjukkan daya tahan yang kukuh pada 2024, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada antara 4.8% hingga 5.3%.
Ringgit mengukuh sebanyak 2.7% berbanding dolar AS, dan FBM KLCI mencatatkan keuntungan sebanyak 12.58%. Persekitaran ekonomi yang kukuh, dengan pendekatan pelaburan berdisiplin Khazanah, menyumbang kepada prestasi yang kukuh pada tahun lalu, dengan kadar pulangan wajaran masa NAV (TWRR) mencapai 24.6%, peningkatan ketara berbanding 5.7% pada 2023.
“Kami berhasrat untuk mengekalkan momentum yang kukuh dari 2024 dan memastikan pelaksanaan yang berjaya dalam usaha penciptaan nilai kami, melalui strategi jangka panjang kami untuk Memajukan Malaysia berasaskan pendekatan ‘A Nation That Creates’, untuk memajukan negara dan membina Malaysia yang lebih baik, selaras dengan rukun Ekonomi Madani.
"Ini termasuk kerjasama dengan GLIC lain dan memanfaatkan perkongsian serta inovasi pemangkin yang akan meningkatkan daya saing dan produktiviti negara,” tambah Amirul Feisal.- DagangNews.com








