KUALA LUMPUR 14 Mac - Khazanah Nasional Bhd akan mengambil alih pegangan Innovation Network Corporation of Japan (INCJ) dalam syarikat menara telekomunikasi, EDOTCO Group.
INCJ telah mencapai penghujung mandat pelaburannya dan Khazanah menghargai usaha sama dengan INCJ, sejak penyertaannya pada 2017 serta menghargai kerjasama sepanjang tempoh ini.
"Urus niaga ini mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Jepun untuk memupuk perkongsian strategik.
"Ia juga mengukuhkan komitmen Khazanah untuk memacu agenda pelaburan domestik dalam ruang infrastruktur digital, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Khazanah tetap komited kepada pertumbuhan dan kejayaan EDOTCO, mengesahkan keyakinan terhadap asas kukuh dan potensi masa depannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, Khazanah sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih pegangan INCJ sebanyak 21% dalam EDOTCO.
Syarikat-syarikat itu sedang membincangkan perjanjian yang berpotensi dan dipercayai rundingan sedang berjalan dan tidak ada kepastian persetujuan perjanjian itu.
INCJ pada Disember 2016 membuat pelaburan sebanyak AS$400 juta (RM1.78 bilion) dalam EDOTCO.
Firma infrastruktur telekomunikasi yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu menguruskan lebih 55,000 menara di Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka, Pakistan, Filipina, Myanmar dan Laos. - DagangNews.com








