Keyfield labur RM72.5 juta bina kapal sokongan baharu bersama dua syarikat dari China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield labur RM72.5 juta bina kapal sokongan baharu bersama dua syarikat dari China

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 MacKeyfield International Berhad memeterai kontrak pembinaan kapal sokongan baharu jenis 'tunda, bekalan dan pengendalian sauh' (AHTS) bernilai AS$18.0 juta (RM72.5 juta).


Langkah tersebut jelas kumpulan itu dijangka dapat memperluaskan kapasiti operasi dan menyokong pertumbuhan perniagaan perkhidmatan penyewaan kapal pesisir yang ditawarkan syarikat berkenaan.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak ditandatangani melalui anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Resolute Sdn Bhd dengan dua pembina kapal dari China.


"Ia dimeterai bersama-sama Fujian Mawei Shipbuilding Ltd dan Fujian Funing Shipbuilding Co Ltd, dengan kapal baharu berkapasiti 90 meter itu dilengkapi sistem diesel-elektrik," jelas Keyfield.


Selain itu, ia dilengkapi teknologi 'dynamic positioning 2 (DP2), sejajar strategi kumpulan untuk meningkatkan pendedahan dalam segmen AHTS dan mengekalkan kekuatan bot kerja penginapan (AWB).


Menurutnya, pembinaan kapal ini akan menambah kapasiti AHTS sedia ada yang kini sebahagian besarnya sudah komited kepada kontrak jangka panjang, sekali gus membolehkan kumpulan membida tender baharu.


Pada masa sama, jelas Keyfield, usaha itu membuka peluang sewaan tanpa menjejaskan komitmen semasa, manakala pembiayaan projek itu akan dibuat menggunakan dana dalaman termasuk hasil pelupusan kapal.


"Dari segi impak kewangan, pembinaan kapal ini tidak memberi kesan kepada modal saham, pegangan pemegang saham utama, nilai aset bersih (NA) dan tahap penggearan kumpulan buat masa ini," katanya.


Bagaimanapun tambah kumpulan berkenaan, langkah ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan meningkatkan NA kumpulan selepas kapal itu mula beroperasi dalam perniagaan sewaan kapal.


Kapal itu dijangka siap dan mula digunakan sekitar tahun 2028, dengan Keyfield turut memaklumkan beberapa risiko termasuk kemungkinan kelewatan pembinaan, dan ketidakpatuhan spesifikasi.


"Turun naik kadar pertukaran asing juga memberi kesan kerana kontrak dibuat dalam dolar Amerika Syarikat (AS), dan setiap perubahan kecil akan memberi kesan kepada kos pelaburan," kata Keyfield.


Risiko tersebut namun dijangka dapat dikurangkan memandangkan dua pembina kapal tersebut mempunyai rekod prestasi kukuh serta pengawasan rapi oleh wakil syarikat sepanjang proses pembinaan.


Kumpulan berkenaan turut mengesahkan tiada kepentingan pengarah atau pemegang saham utama dalam kontrak baharu tersebut. - DagangNews.com