KUALA LUMPUR 27 Feb - Sunway Bhd merancang pelancaran projek hartanah baharu bernilai RM1.26 bilion di Sunway City Iskandar Puteri dan Johor Baharu, mengesahkan keyakinannya terhadap pasaran hartanah di Iskandar Malaysia, kata RHB Research.
Katanya, pada 4QFY24, segmen pembangunan hartanah didorong jualan dan pengebilan yang lebih tinggi, dan sebahagiannya disumbang keuntungan nilai wajar (FV) sebanyak RM23.9 jutadaripada Monash Residence dan beberapa hartanah di Velocity.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan dari suku tahun ke suku tahun yang lebih kukuh dalam segmen pembinaan didorong kemajuan kerja yang dipercepatkan dalam beberapa kerja pusat data.
"Bagaimanapun, hasil bagi bahagian pelaburan hartanah jatuh sedikit berikutan penurunan kehadiran pelawat ke taman tema dan kadar penghunian yang lebih rendah untuk segmen hospitaliti memandangkan tempoh cuti sekolah pada 4QFY24 adalah lebih pendek.
"Pendapatan kerjasama pada 3QFY24 telah ditarik balik dengan penyiapan Parc Central Residences di Singapura," katanya dalam atu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan pada 4QFY24 meningkat kepada RM335.47 juta berbanding RM266 juta pada suku sama tahun sebelumnya, dipacu sumbangan lebih tinggi daripada kebanyakan segmen perniagaannya.
Hasil suku tahunan melonjak 53% tahun ke tahun kepada RM2.85 bilion, meningkat daripada RM1.87 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya, disokong oleh prestasi kukuh bahagian pembinaan, pembangunan hartanah dan perdagangan dan pembuatan.
Bagi FY24, untung bersih kumpulan melonjak 56% kepada RM1.15 bilion — tertinggi dalam tiga tahun — berbanding RM737.87 juta setahun lalu. Hasil tahunan kumpulan meningkat 28% untuk mencapai rekod tertinggi RM7.88 bilion, daripada RM6.14 bilion pada FY23.
RHB Research menyemak naik unjuran pendapatan FY25 dan FY26 sebanyak 13% dan 15% kerana pengurusan merancang meningkatkan pelancarannya di Iskandar Malaysia dan penambahan buku pesanan pembinaan tahun ini.
Katanya, jualan belum dibilkan dan buku pesanan pembinaan tertunggak berjumlah RM3.33 bilion dan RM5.83 bilion pada 4QFY24, berbanding RM4.5 bilion dan RM7.07 bilion pada 3QFY24.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.77 sesaham," katanya. - DagangNews.com








