Keutamaan kerajaan rakyat dilindungi, bekalan strategik terjamin, ekonomi terus berdaya tahan - Akmal Nasrullah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keutamaan kerajaan rakyat dilindungi, bekalan strategik terjamin, ekonomi terus berdaya tahan - Akmal Nasrullah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 April - Kerajaan akan terus bertindak secara teratur dan menyeluruh untuk memastikan rakyat terus dilindungi, bekalan strategik negara terus terjamin, dan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan menempuh ketidaktentuan ekonomi global.

 

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan fokus kerajaan bukan sekadar memantau krisis.

 

"Fokus kita ialah mengurus kesannya, mengurangkan risikonya, dan memastikan rakyat dapat melalui tempoh mencabar ini dengan sebaik mungkin," katanya dalam taklimat Krisis Tenaga Global hari ini.

 

akmal

 

Menurut Akmal, keutamaan kerajaan ketika ini adalah jelas iaitu memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan dengan fokus utama terhadap kestabilan bekalan asas, kawalan harga serta kelangsungan fungsi ekonomi negara.

 

Katanya, rakyat mahu kepastian bahawa bekalan keperluan asas kekal terjamin, harga sentiasa dipantau dan ekonomi negara terus beroperasi dengan baik dalam keadaan global yang mencabar.

 

Ikhtiar Pastikan Bekalan Terjamin

Beliau berkata, walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan stabil bagi tempoh April dan Mei, cabaran utama seterusnya adalah memastikan keterjaminan bekalan tenaga bermula Jun dan seterusnya.

 

“Pelbagai ikhtiar sedang digerakkan bagi memastikan kelangsungan bekalan, termasuk meneliti aspek pengurusan permintaan dan penggunaan tenaga secara lebih berkesan,” katanya.

 

Tambah beliau, konflik tenaga global turut memberi kesan besar kepada rantaian bekalan barangan memandangkan hampir semua sektor pengeluaran dan pengedaran bergantung kepada input tenaga.

 

Sehubungan itu, kerajaan tidak hanya menumpukan kepada isu tenaga semata-mata, tetapi turut memberi perhatian kepada keterjaminan makanan, bekalan ubat-ubatan, logistik serta kos sara hidup rakyat.

 

Melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pelbagai langkah mitigasi telah diselaras termasuk pemantauan harga secara harian dan mingguan, penganjuran jualan harga berpatutan serta usaha membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan.

 

“Langkah-langkah ini penting bagi memastikan bekalan keperluan asas kekal stabil dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” jelasnya.

 

Memastikan Ekonomi Negara Terus Bergerak

Dalam masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada memastikan ekonomi negara terus bergerak meskipun berdepan ketidaktentuan global.

 

Akmal berkata, kerajaan kini memantau keadaan ekonomi secara lebih tersusun melalui dashboard indikator ekonomi yang menggunakan data berfrekuensi tinggi merentasi pelbagai sektor.

 

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengesan tekanan lebih awal, mengenal pasti sektor yang terkesan dan mengambil tindakan dengan lebih pantas,” katanya.

 

Selain itu, penyelarasan tindak balas kerajaan secara bersepadu turut diperkukuh dengan Kementerian Ekonomi dipertanggungjawabkan menyelaras dasar makro, fiskal, kewangan dan sektoral.

 

Langkah ini termasuk kerjasama rapat dengan kementerian berkaitan bagi mengenal pasti intervensi bersesuaian bukan sahaja untuk jangka pendek, malah bagi tempoh sederhana antara enam bulan hingga setahun.


Input Bahan Api Dipelbagaikan

Kerajaan juga memberi perhatian terhadap ketahanan bekalan negara melalui usaha mempelbagaikan sumber input bahan api serta mengukuhkan kerjasama strategik dengan rakan dagang utama.

 

Dalam hal ini, PETRONAS bersama agensi berkaitan sedang melaksanakan inisiatif bagi memastikan keterjaminan input pengeluaran.

 

Sementara itu, Bank Negara Malaysia turut diputuskan untuk menyediakan sokongan pembiayaan kepada firma yang terjejas.

 

Bagi mengurangkan tekanan harian dan memastikan kelangsungan operasi, kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah praktikal termasuk waktu bekerja fleksibel serta pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor perkhidmatan awam bermula 15 April 2026.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan itu tidak melibatkan sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan. - DagangNews.com