KUALA LUMPUR 21 Ogos – Keuntungan selepas cukai (PAT) Velesto Energy Berhad (Velesto) merosot 98.9% kepada RM531,000 bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026) daripada RM50.44 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Kemerosotan ketara itu berlaku apabila hasil kumpulan turun 22.9% kepada RM154.03 juta daripada RM199.91 juta setahun sebelumnya, terutama disebabkan kadar sewaan harian purata yang lebih rendah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Velesto berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) turut susut kepada RM2.23 juta dalam 2QFY2026 berbanding RM61.35 juta pada 2QFY2025.
Velesto berkata penurunan PBT itu sebahagian besarnya disebabkan hasil lebih rendah berikutan kesan daripada kadar sewaan harian purata yang lebih rendah, selain suku sama tahun lalu mendapat manfaat daripada pembalikan peruntukan kos tahun sebelumnya.
Bagi segmen perkhidmatan penggerudian, hasil turun kepada RM149.5 juta berbanding RM195.8 juta dalam suku sama tahun lalu, manakala PBT merosot kepada RM1.75 juta daripada RM60.86 juta.
Penurunan hasil segmen penggerudian sebanyak RM46.3 juta itu terutama berpunca daripada kadar sewaan harian purata yang lebih rendah pada AS$103,000 sehari berbanding AS$123,000 sehari pada 2QFY2025.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, hasil kumpulan susut 20.5% kepada RM337.38 juta daripada RM424.56 juta, manakala PBT merosot 69.6% kepada RM38.47 juta daripada RM126.68 juta.
Penggunaan pelantar dan kontrak
Velesto berkata kadar penggunaan pelantar direkodkan pada 66%, manakala masa operasi (uptime) kekal tinggi pada 99.9%, menunjukkan prestasi operasi aset syarikat kekal kukuh.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata prestasi syarikat dijangka bertambah baik pada suku akan datang, disokong aktiviti yang telah dikontrakkan.
Katanya, lima daripada enam pelantar penggerudian syarikat telah memiliki kontrak sehingga akhir 2026, dengan baki buku tempahan bernilai RM1.3 bilion serta prospek bernilai RM3.7 bilion setakat Julai 2026.
Strategi pertumbuhan diteruskan
Velesto turut meneruskan strategi pertumbuhan berasaskan aset ringan dengan memperoleh kontrak Hibiscus menerusi pelantar pihak ketiga serta kontrak Chevron i-RDC 2.0 bagi NAGA 8.
NAGA 8 kini menjalankan perkhidmatan bersepadu pelantar, penggerudian dan penyiapan untuk Chevron dengan kontrak sehingga suku pertama 2028.
Sementara itu, NAGA 4 dan NAGA 5 masing-masing mempunyai kontrak sehingga suku kedua 2027 dan suku pertama 2027.
Dalam perkembangan lain, lembaga pengarah Velesto mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026, berjumlah RM20.7 juta, yang akan dibayar pada 18 November 2026.
Dividen itu menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan bagi tahun sehingga kini sebanyak 1 sen sesaham, termasuk dividen interim 0.75 sen sesaham yang dibayar pada 17 Ogos 2026. - DagangNews.com








