KUALA LUMPUR 12 Jun - Keuntungan syarikat perladangan dijangka terjejas pada separuh kedua tahun ini susulan peluasan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, struktur cukai yang disemak semula akan mengenakan levi 5% ke atas beberapa produk huluan dan hiliran, termasuk tandan buah segar (BTS), tandan kosong (EFB), tempurung isirung sawit (PKS), bahan penyulingan asid lemak sawit (PFAD), bahan penyulingan asid lemak isirung sawit (PKFAD), dan minyak isirung sawit (PKO).
"Kesan paling ketara dijangka datang daripada pembelian BTS luar oleh kilang penapis minyak sawit mentah (MSM) dan pembelian PKO luar oleh pemain hiliran," jelas firma itu dalam satu nota kajian.
Menurut RHB Research, cukai tersebut dikenakan sebagai tambahan kepada levi sedia ada dalam industri sawit termasuk cukai keuntungan luar biasa, cukai jualan MSM di Malaysia Timur serta cukai eksport terhadap semua produk sawit.
“Walaupun terdapat sedikit pengimbang melalui cukai ke atas jualan EFB, PKS dan PFAD, kami menjangkakan kesan bersih terhadap keuntungan adalah negatif,” jelasnya.
Firma itu menganggarkan penurunan keuntungan tahunan antara 0.3% hingga 11%, bergantung kepada kadar pembelian BTS luar oleh syarikat perladangan.
Pengiraan itu berdasarkan andaian pembelian BTS luar pada harga RM850 setan, kemudian dikenakan cukai 5%.
FGV Holdings Bhd dikenal pasti paling terdedah kerana kira-kira 70% BTS yang diproses adalah daripada sumber luar.
Namun begitu, firma itu menjelaskan kekurangan pendedahan berhubung pembelian PKO dan jualan hasil sampingan menyukarkan pengiraan penuh kesan cukai.
"Kami tidak dapat menilai sepenuhnya kesan pembelian PKO luar dan hasil produk sampingan lain memandangkan tiada pendedahan data berkaitan," jelasnya.
RHB Research masih mengekalkan penarafan sektor "dalam semakan" tetapi kekal berhati-hati optimis terhadap harga MSM.
"Risiko geopolitik telah memberi tekanan kepada harga MSM dalam beberapa bulan kebelakangan ini," tambah firma itu.
Sementara itu, unjuran harga MSM sebanyak RM4,300 setan bagi tahun ini dijangka sukar dicapai memandangkan purata harga setakat ini telah mencecah RM4,400 setiap tan.
Bagaimanapun, firma itu menjelaskan syarikat perladangan secara keseluruhannya masih mencatatkan keuntungan, walaupun penilaian pasaran kekal rendah.
"Harga MSM dijangka pulih menjelang akhir tahun apabila pengeluaran bermusim mula menyusut," kata RHB Research.- DagangNews.com








