KUALA LUMPUR 25 Jun – Glomac Berhad mencatatkan penurunan untung bersih sebanyak 84.16% kepada RM2.41 juta bagi suku keempat berakhir 30 April 2025 (4QFY25), berbanding RM15.24 juta pada suku sama tahun lalu, disebabkan cukai yang lebih tinggi.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, bagi tahun penuh, untung bersih bersih susut RM12.07 juta daripada RM19.82 juta, manakala cukai melonjak kepada RM9.88 juta daripada RM5.27 juta.
Bagaimanapun, hasil sukuan meningkat 20.17% kepada RM74.94 juta berbanding RM62.36 juta, disokong pengiktirafan hasil daripada projek pembangunan baharu.
Bagi tahun penuh, untung bersih susut 33.81% kepada RM15.62 juta daripada RM23.59 juta disebabkan cukai lebih tinggi dan penurunan hasil.
Untung sebelum cukai meningkat kepada RM33.43 juta berbanding RM32.85 juta, namun cukai naik kepada RM18.22 juta daripada RM10.40 juta.
Hasil tahunan merosot 10.94% kepada RM238.34 juta daripada RM267.62 juta susulan pengurangan aktiviti pembangunan dan penyiapan beberapa projek pada tahun sebelumnya.
Glomac berkata, ia kekal berhati-hati terhadap kos pembinaan dan sentimen pasaran berikutan ketidaktentuan geopolitik serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Bagaimanapun, kumpulan merancang pelancaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM324 juta.
Antara projek utama termasuk dua fasa rumah teres dua tingkat di Serai@SBCR dan fasa baharu rumah berkembar di KEYS, Lakeside Residences.
Syarikat turut memperkukuh struktur modal melalui program sukuk wakalah dengan kapasiti pembiayaan sehingga RM3 bilion.
Disokong bank tanah strategik dengan anggaran GDV masa depan RM6 bilion, kumpulan yakin berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dan meluaskan jejak pembangunan.
Saham Glomac ditutup setengah sen atau 1.6% lebih tinggi pada 32 sen pada Selasa, dengan permodalan pasaran RM256 juta. Setakat tahun ini, saham telah susut 17.95%.- DagangNews.com








