Keuntungan Genting Plantations dikhuatiri terjejas ekoran denda RM97 juta di Indonesia - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Genting Plantations dikhuatiri terjejas ekoran denda RM97 juta di Indonesia - CGSI

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Jan - Keuntungan Genting Plantations Bhd dijangka terjejas ekoran denda hampir RM97 juta oleh pasukan kawalan hutan Indonesia, menurut analisis firma pembrokeran CGS International.

 

Dalam kenyataan pada 16 Jan, Genting Plantations mengumumkan anak syarikat tidak tersenarai milik tidak langsungnya, PT Susantri Permai (95% pegangan), menerima notis interim daripada pasukan kawalan hutan Indonesia berkenaan denda pentadbiran sebanyak Rp396 bilion (~RM96.6 juta) atas dakwaan ketidakpatuhan di kawasan hutan.

 

Denda berkenaan telah dibayar sepenuhnya dan dijangka menjejaskan keuntungan suku pertama 2026.

 

CGS International dalam nota penyelidikannya berkata, denda tersebut mewakili kira-kira 26% daripada unjuran keuntungan Genting Plantations bagi tahun kewangan 2026.

 

Selain itu, pengurusan syarikat sebelum ini pada separuh pertama 2025 mengiktiraf kerugian sekali sahaja berjumlah RM170 juta berkaitan kira-kira 3,000 hektar tanah yang dirampas, bersamaan dengan sekitar 4% pengurangan dalam keuntungan teras FY26F.

 

Menurut CGS International, Genting Plantations mempunyai pendedahan tertinggi terhadap Indonesia dalam kalangan syarikat penanam Malaysia, dengan kira-kira 74% daripada tanahnya terletak di negara itu, termasuk skim Plasma, berjumlah sekitar 178,900 hektar daripada 243,200 hektar keseluruhan pada 2024.

 

Tanah di Malaysia pula merangkumi sekitar 26% daripada jumlah tanah Genting Plantations.

 

Sejak 2025, pasukan kawalan hutan Indonesia (Satgas PKH) mempergiat operasi mereka, merampas sejumlah 3.7 juta hektar tanah ladang, termasuk 1.5 juta hektar diserahkan kepada firma milik kerajaan, Agrinas Palma Nusantara, menjelang Disember 2025.

 

Syarikat minyak sawit yang beroperasi dalam kawasan hutan tanpa permit sah di bawah peraturan kerajaan PP No.45/2025 kini dikenakan denda pentadbiran Rp25 juta setiap hektar setahun.

 

CGS International menegaskan walaupun isu kawal selia di Indonesia kini dilihat selesai dengan pengiktirafan kerugian dan pembayaran denda, Genting Plantations masih berdepan cabaran persekitaran hiliran yang mencabar.

 

Firma pembrokeran itu mengekalkan penilaian Hold ke atas Genting Plantations dengan harga sasaran SOP berkurang kepada RM5.15, berasaskan P/E 19 kali bagi FY27F, berbanding 17 kali sebelum ini.

 

Risiko menurun termasuk tekanan margin hiliran yang berterusan dan pembangunan hartanah lebih perlahan daripada jangkaan.

 

Sebaliknya, potensi penilaian semula tanah Johor (terutamanya di Batu Pahat dan Kulai) serta peningkatan hasil tandan buah segar (FFB) dari ladang-ladang syarikat dilihat sebagai faktor kenaikan. - DagangNews.com