Keuntungan bersih Pesona Metro meningkat kepada RM54.5 juta pada FY25 disokong prestasi segmen pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan bersih Pesona Metro meningkat kepada RM54.5 juta pada FY25 disokong prestasi segmen pembinaan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 April – Pesona Metro Holdings Berhad (PMHB) mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan hasil meningkat 38% kepada RM705.9 juta berbanding RM511.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata peningkatan itu dipacu oleh kemajuan projek pembinaan serta sumbangan lebih tinggi daripada pembangunan hartanah.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 162 peratus kepada RM66 juta daripada RM25.2 juta pada tahun kewangan 2024, disokong oleh peningkatan margin projek, pelaksanaan kerja yang lebih efisien serta sumbangan positif daripada segmen pembangunan hartanah yang mula matang.

 

“Daripada segi struktur pendapatan, segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan kira-kira 68 hingga 69 peratus daripada jumlah hasil, diikuti segmen pembangunan hartanah sekitar 28 peratus, manakala selebihnya disumbang oleh segmen konsesi yang stabil,” katanya.

 

PMHB turut mengekalkan momentum operasi dalam semua segmen perniagaan dengan pembinaan kekal sebagai teras utama, disokong projek-projek komersial, kediaman bertingkat tinggi serta kemudahan kesihatan yang sedang dilaksanakan di bawah portfolio kumpulan.

 

Pada akhir tahun kewangan 2025, kumpulan itu mengekalkan buku tempahanpembinaan kukuh berjumlah kira-kira RM2.3 bilion melibatkan lapan projek aktif, termasuk kontrak baharu bernilai RM666 juta bagi kerja pembinaan bangunan komersial di Bandar Sri Damansara yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan menjelang Mac 2028.

 

Dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi, PMHB turut melaksanakan sistem aliran kerja pembinaan digital bagi memperkukuh pemantauan projek, kawalan kos serta pengurusan sumber, selain menyasarkan skor QLASSIC sekurang-kurangnya 73 peratus bagi memastikan standard kualiti pembinaan yang lebih tinggi.

 

Segmen pembangunan hartanah pula mencatat pertumbuhan ketara selepas pengambilalihan kepentingan dalam Gaya Kuasa Sdn Bhd, dengan projek utama seperti Ren Residence mencatat kadar jualan sekitar 80 peratus atau 793 unit terjual, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM559.6 juta daripada jumlah keseluruhan RM810 juta, manakala kemajuan pembinaan telah mencapai 42.9 peratus.

 

Dalam masa sama, segmen konsesi terus memberikan pendapatan berulang stabil melalui pengurusan dan penyelenggaraan asrama pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di bawah SEP Resources (M) Sdn Bhd, dengan pendapatan bulanan sekitar RM2.3 juta serta potensi pengembangan kapasiti daripada 4,000 kepada 6,000 pelajar.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM925.0 juta berbanding RM794.6 juta sebelumnya, manakala ekuiti pemegang saham naik 24 peratus kepada RM256.9 juta, disokong oleh pertumbuhan keuntungan terkumpul serta aktiviti pembangunan yang lebih aktif, dengan liabiliti turut meningkat sejajar penggunaan pembiayaan projek.

 

PMHB turut mengumumkan dividen interim sebanyak 1.4 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, bersamaan kira-kira RM9.7 juta atau sekitar 25 peratus daripada keuntungan boleh diagihkan, mencerminkan keyakinan lembaga pengarah terhadap kestabilan aliran tunai dan prospek pertumbuhan kumpulan.

 

Melangkah ke 2026, PMHB kekal berhati-hati namun optimis dengan sasaran mengukuhkan buku tempahan, memperluas segmen hartanah mampu milik serta mengekalkan pendapatan stabil daripada konsesi, sambil berdepan cabaran kos operasi dan ketidaktentuan geopolitik global yang boleh memberi kesan kepada harga bahan mentah dan rantaian bekalan. - DagangNews.com