KUALA LUMPUR 17 Feb - Keuntungan bersih CPE Technology Bhd melonjak kepada RM10 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2024 berbanding RM1.5 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.
Hasil syarikat pula meningkat lebih 50 peratus kepada RM33.2 juta berbanding RM21.8 juta sebelumnya.
Dalam tempoh enam bulan pertama, CPE Tech mencatatkan keuntungan bersih RM12.76 juta, meningkat tiga kali ganda berbanding RM4.0 juta tahun lalu.
Hasilnya pula meningkat 40.5 peratus kepada RM62.5 juta berbanding RM44.5 juta.
CPE Tech berkata, prestasi hasil yang kukuh pada suku kedua didorong terutamanya oleh industri semikonduktor.
"Industri itu menyumbang RM23.2 juta atau 69.7 peratus daripada jumlah hasil syarikat, mencatatkan peningkatan sebanyak RM12.7 juta atau 120.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu menyatakan, peningkatan jumlah pengeluaran dan penggunaan kapasiti yang dipertingkatkan menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan dalam hasil dan keuntungan.
"Kenaikan mendadak dalam keuntungan sebelum cukai dipacu oleh keuntungan pertukaran mata wang asing tidak direalisasi sebanyak RM3.6 juta," jelasnya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lee Chen Yeong berkata, keputusan kewangan itu mencerminkan daya tahan syarikat dan keberkesanan strategi pertumbuhannya.
Beliau berkata, industri semikonduktor terus menjadi pendorong utama hasil dan syarikat komited untuk mengembangkan operasi bagi memenuhi permintaan pasaran.
"Selain prestasi kewangan, kami juga berbangga dengan inisiatif ESG kami, yang memperkukuhkan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan komuniti tempat kami beroperasi," ujarnya. - DagangNews.com








