KUALA LUMPUR 25 Mei - Axiata Group Berhad mencatat prestasi lebih kukuh apabila keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 meningkat 71.3% kepada RM273.8 juta berbanding RM159.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan telekomunikasi itu berkata, pertumbuhan keuntungan disokong oleh keuntungan pertukaran asing dan kos pembiayaan yang lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan kesan ketidaktentuan mata wang di pasaran operasinya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 3.2% kepada RM2.8 bilion daripada RM2.89 bilion sebelum ini, terutamanya disebabkan kesan terjemahan mata wang asing yang tidak menggalakkan apabila mata wang syarikat operasi menyusut berbanding ringgit.
Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, lembaga pengarah berpuas hati dengan permulaan kukuh kumpulan itu pada tahun ini.
Menurut beliau, peningkatan keuntungan, aliran tunai yang lebih baik dan disiplin kunci kira-kira yang berterusan mencerminkan asas operasi yang semakin mantap.
“Ketika Axiata melangkah ke fasa seterusnya di bawah strategi Axiata28: Advancing Asia, fokus kami kekal kepada peruntukan modal yang berdisiplin, pelaksanaan konsisten dan mengekalkan pulangan menerusi portfolio yang lebih fokus serta berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lembaga pengarah akan terus memberi keutamaan kepada kekuatan kewangan, disiplin tadbir urus dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Strategi Axiata28
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Vivek Sood berkata, prestasi suku pertama mencerminkan pelaksanaan berdisiplin di bawah strategi Axiata28.
Katanya, selepas kejayaan pelaksanaan strategi 5×5, Axiata kini memasuki fasa baharu sebagai pengurus aset yang lebih fokus dan berdaya tahan dengan sokongan kunci kira-kira kukuh serta portfolio aset yang mampan.
“Di bawah Axiata28: Advancing Asia, kumpulan memberi tumpuan kepada disiplin modal, pemudahan portfolio dan membuka nilai dalam perniagaan telekomunikasi serta teknologi,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan rangkaian 5G kini sedang berkembang di semua pasaran operasi kumpulan, termasuk Robi Axiata Limited di Bangladesh yang masih berada pada peringkat awal pelaksanaan.
Tambah beliau, Axiata juga sedang memperkemas portfolio perniagaannya bagi meningkatkan prestasi operasi, memperkukuh penjanaan tunai daripada aset telekomunikasi dan mengembangkan perniagaan teknologi untuk menyokong pulangan jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com








