KUALA LUMPUR 13 Mac – Ketidaktentuan sentimen pasaran global terus menjadi faktor kritikal yang mempengaruhi dagangan di Bursa Malaysia semalam, walaupun beberapa sektor utama masih stabil.
Maybank Investment Bank berkata, sektor produk perindustrian, tenaga dan perladangan kini menjadi tumpuan besar pelabur berikutan momentum teknikal yang kekal dalam aliran menaik pada ketika ini.
Dalam nota analisisnya hari ini, firma itu memaklumkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) meningkat 2.23 mata atau 0.13% untuk pasaran ditutup pada 1,711.01 mata semalam.
"Kenaikan ini dipacu oleh saham-saham berwajaran tinggi seperti PETRONAS Chemicals Group Berhad, Public Bank Berhad dan IHH Healthcare Berhad muncul sebagai antara penyumbang utama," jelasnya.
Sentimen pasaran keseluruhan namun kekal berhati-hati apabila jumlah kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 538 berbanding 529, yang mencerminkan keadaan pasaran masih lagi bercampur.
Menurut Maybank IB, sektor produk perindustrian mencatat prestasi kukuh selepas kembali berdagang di atas semua garis purata pergerakan, sekali gus menunjukkan momentum kenaikan yang berterusan.
Tambah firma penyelidikan itu, selain sektor industri, sektor tenaga dan perladangan juga dijangka kekal menjadi tumpuan kerana ketiga-tiga sektor ini masih mengekalkan aliran kenaikan yang stabil.
"Kami menjangkakan FBMKLCI bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,720 mata untuk sesi dagangan yang seterusnya, dengan paras sokongan indeks dilihat berlegar-legar 1,640 dan 1,600 mata," katanya.

Dari segi idea dagangan teknikal, Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Betamek Berhad, selepas saham itu membentuk asas baharu di atas paras rintangan lama yang kini menjadi sokongan.
Saham kumpulan rumusan aksesori automotif tersebut tambahnya, dilihat berpotensi untuk meneruskan momentum kenaikan selepas membentuk corak 'bullish engulfing' dengan peningkatan volum dagangan.
Sementara itu, Hume Cement Industries Berhad turut disaran 'beli' setelah pembetulan harga sebelum ini dilihat terhad pada garis aliran menaik, selain kembali berdagang di atas awan corak Ichimoku.
"Jika momentum kenaikan berterusan, harga sasaran (TP) yang seterusnya dijangka RM3.83 sesaham, manakala dalam sektor komoditi pula, Guan Chong Berhad dilihat amat berpotensi," kata Maybank IB.
Kumpulan pengeluar produk coklat tersebut jelas firma berkenaan, masih meneruskan trend pembalikan aliran menaik selepas menembusi garis aliran menurun sejak kemuncak harganya sekitar Mei 2025.
Saham itu kini hampir melengkapkan corak 'inverse head-and-shoulders', dengan paras leher dikenal pasti 77 sen, berpotensi mencetuskan pergerakan kenaikan kukuh sekiranya berlaku penembusan harga.
Di pasaran komoditi kata Maybank IB, kontrak hadapan minyak sawit mentah (FCPO) menunjukkan sentimen positif setelah harga melonjak dan berkemungkinan menamatkan fasa pembetulan sebelumnya.
"Namun begitu, momentum kenaikan kemungkinan besar adalah perlahan dalam jangka pendek kerana petunjuk indeks kekuatan relatif (RSI) menghampiri zon terlebih beli," tambah firma tersebut.
Sementara itu, kontrak hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) kini berada dalam fasa penyatuan berhampiran paras anjakan Fibonacci 38.2%, menandakan tekanan penurunan semakin reda.
Bagaimanapun, Maybank IB menegaskan isyarat penurunan masih wujud selepas purata pergerakan 21 hari melintasi di bawah purata 50 hari, dan memerlukan lantunan kukuh bagi pemulihan. - DagangNews.com








