KUALA LUMPUR 4 Feb – MBSB Research menegaskan isu ketidaktentuan geopolitik dan cuaca ekstrem menjadi faktor utama mendorong turun naik harga minyak dan gas (O&G) global di pasaran semasa.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor O&G di Malaysia, setelah mengambil kira pemulihan harga minyak penanda aras Brent pada Januari 2026.
Ia kekal dalam julat AS$70 (RM274) setong, manakala harga gas asli mencecah USD7.40 (RM29) MMBtu berikutan gangguan stok akibat cuaca sejuk sebelum kembali normal kepada AS$3.20 (RM12.55) MMBtu.
"Kami mendapati segmen logistik, kadar kapal tangki 'kotor' melebihi 1,700 markah, iaitu paras tertinggi dua tahun, berikutan oleh isu ketidaktentuan geopolitik semasa," kata MBSB Research dalam notanya.
Situasi lemah berkenaan jelas firma berkenaan, turut disebabkan faktor laluan penghantaran yang lebih panjang, kos insurans meningkat, serta permintaan tidak menentu menjejaskan segmen tersebut.
Selain itu, ia mengekalkan pandangan sederhana, menekankan aktiviti segmen pertengahan sebagai pilihan utama kerana model perniagaan secara berulang yang menyediakan aliran tunai lebih stabil.
Tambah MBSB Research, segmen berkenaan turut menjadi lindung nilai daripada situasi turun naik harga komoditi tersebut secara langsung, apabila menyerap ketidaktentuan sektor O&G antarabangsa.
"Dialog Group Berhad disenaraikan sebagai pilihan utama kami dengan harga sasaran (TP) diunjur RM2.17 sesaham, sejajar dengan strategi defensif syarikat itu dalam sektor ini," jelas firma itu.
Ia menegaskan bahawa walaupun harga minyak Brent dilihat meningkat sekitar 5.3% berbanding bulan yang sebelumnya, pasaran petroleum adalah kekal sensitif terhadap sebarang gangguan jangka pendek.
Justeru kata MBSB Research, pelabur disaran memberi tumpuan kepada segmen pertengahan dengan kontrak kukuh, bagi memastikan hasil stabil walaupun berdepan ketidaktentuan global. - DagangNews.com








