KUALA LUMPUR 4 Mac – Penutupan Selat Hormuz kembali menjadi kebimbangan utama pasaran minyak global susulan ketegangan geopolitik terbaharu di rantau Asia Barat, sekali gus mendorong lonjakan harga.
TA Securities berkata, hampir 20% penggunaan minyak dunia, atau kira-kira 20 juta tong sehari (mb/d) melalui laluan sempit itu, menjadikannya antara titik kritikal dalam rantaian bekalan tenaga dunia.
Menurut firma itu, pengukuhan harga minyak penanda aras Brent sejak awal tahun ini lebih dipacu premium risiko geopolitik berbanding faktor asas permintaan dan penawaran yang masih terkawal.
“Sebarang gangguan walaupun bersifat sementara akan memberi kesan besar kepada imbangan bekalan fizikal kerana kapasiti laluan alternatif adalah terhad,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jelas TA Securities, harga komoditi itu sebelum ini berada pada paras rendah AS$60 (RM236) setong awal Januari 2026 sebelum meningkat susulan ketegangan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Tambahnya, kapasiti pintasan sedia ada seperti saluran paip Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya mampu menampung 5 mb/d dalam keadaan optimum, tiga kali kurang berbanding Selat Hormuz.
Keadaan ini kata firma penyelidikan berkenaan, memperlihatkan lebih 70% daripada aliran biasa di Teluk Parsi, tidak mempunyai laluan alternatif yang berdaya maju sekiranya berlaku gangguan besar.
"Jika ketegangan terkawal tanpa kerosakan infrastruktur, kesan bekalan fizikal adalah minimum, dan harga Brent dijangka kembali ke julat asas struktur AS$50 (RM197) setong," kata TA Securities.
Bagaimanapun jelasnya, pengurangan 50% aliran melalui Selat Hormuz boleh mengganggu 10 mb/d bekalan global, dan menyokong harga Brent dalam julat mencecah AS$90 (RM355) setong secara lebih asas.
Sebaliknya tambah firma itu, penutupan yang lama berpotensi menjejaskan sehingga 15 mb/d bekalan bersih, dan Brent boleh melonjak ke paras AS$150 (RM592) setong, dalam tempoh kejutan awal pasaran.
TA Securities namun menegaskan sejarah sebelum ini menunjukkan gangguan bekalan di Teluk Parsi jarang berpanjangan, seperti kes serangan ke atas fasiliti Abqaiq–Khurais di Arab Saudi pada 2019.
"Ia menjejaskan 5.7 mb/d bekalan global menyaksikan Brent melonjak hampir 20% dalam sehari, sebelum harga kembali stabil dalam tempoh beberapa minggu selepas pengeluaran dipulihkan," katanya.
Corak kelaziman pula tambahnya, menunjukkan harga Brent cenderung ‘overshoot’ ketika ada kejutan geopolitik, tetapi kembali normal selagi tiada kehilangan bekalan yang signifikan dan berpanjangan.
Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan ‘underweight’ terhadap sektor minyak dan gas (O&G), memandangkan pengukuhan harga semasa dilihat lebih bersifat premium risiko ketegangan.
Firma berkenaan menjangkakan Brent kembali ke julat struktur harga AS$70 (RM276) setong dalam persekitaran imbangan global masih lagi mencukupi serta penampan kapasiti lebihan yang memadai.
"Bagi strategi pelaburan, kami memilih Hawk sebagai pilihan utama dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran 41 sen, disokong usaha kepelbagaian syarikat itu ke dalam infrastruktur tenaga," katanya.
Dalam senario harga minyak kekal tinggi akibat gangguan berpanjangan, pengeluar huluan seperti Hibisuc dilihat berpotensi mendapat manfaat langsung daripada sensitiviti pendapatan kepada Brent.
Sementara Velesto pula jelas TA Securities, menawarkan pendedahan berisiko besar kepada pemulihan kadar sewaan pelantar sekiranya harga minyak kekal kukuh bagi tempoh lebih lama. - DagangNews.com








