KUALA LUMPUR 17 Mac — Ketidaktentuan harga bahan api global susulan faktor geopolitik dijangka hanya memberi kesan terhad kepada prestasi sektor utiliti, menurut CGS International (CGSI).
Tambah firma penyelidikan tersebut, situasi berkenaan disebabkan struktur tarif elektrik yang sudah dikawal selia oleh pihak berkuasa serta pelaksanaan mekanisme pemindahan kos bahan api.
Katanya, kebanyakan syarikat dilindungi daripada turun naik harga arang batu dan gas kerana kos bahan api boleh dipindah melalui mekanisme tarif di bawah rangka kerja kawal selia elektrik.
"Bagaimanapun YTL Power International Berhad tidak terlibat kerana terdedah ketara kepada pasaran elektrik komersial di Singapura yang sensitif perubahan harga bahan api," kata CGSI dalam notanya.
Margin operasi anak syarikatnya, PowerSeraya milik kumpulan itu jelasnya, dijangka menyederhana pada separuh kedua FY26 apabila kontrak gas disemak semula dan kekangan bekalan berkurangan.
Sehubungan itu, firma berkenaan menegaskan sektor utiliti di Malaysia secara relatifnya lebih terlindung daripada kejutan tenaga geopolitik berbanding kebanyakan negara ASEAN yang lain.
Walaupun sistem penjanaan bergantung kepada bahan api fosil seperti arang batu, kesan kenaikan harga global dikurangkan melalui rangka kerja tarif terkawal dan bekalan gas domestik yang kukuh.
"Di Semenanjung Malaysia, campuran penjanaan elektrik berdasarkan rekod sepanjang 2025 masih lagi didominasi oleh arang batu sebanyak 59%, diikuti gas 34%, hidro 5% dan solar 2%," jelas CGSI.
Firma itu berkata, meskipun komposisi itu menunjukkan pendedahan kepada harga bahan api global, kesannya terhadap keuntungan sektor utiliti adalah terhad kerana mekanisme kawal selia sedia ada.
Dari sudut keselamatan bekalan tenaga, ia menjelaskan yang Malaysia kekal berada dalam kedudukan agak kukuh kerana sekitar 85% stok gas negara ini diperoleh daripada sumber domestik sendiri.

Sebahagian kecil bekalan itu tambah CGSI, turut datang daripada kawasan pembangunan bersama Malaysia-Thailand (JDA), manakala selebihnya diperoleh melalui import gas asli cecair (LNG).
"Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, Malaysia banyak mengimport LNG dari Australia yang menyumbang 96% daripada jumlah tersebut pada 2025, dengan Brunei sebagai pembekal kedua," katanya.
“Malaysia tidak mengimport LNG secara langsung dari Timur Tengah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada gangguan geopolitik di rantau tersebut,” katanya.
Menurut CGSI, sistem penetapan tarif elektrik di Semenanjung di bawah rangka kerja 'Incentive-Based Regulation' (IBR) membolehkan pengeluar memulihkan kos operasi dan pulangan dikawal selia.
Kenaikan tarif tambah firma penyelidikan tersebut, namun dihadkan kepada maksimum 3 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWj), dengan sebarang pelarasan lebih tinggi memerlukan kelulusan Kabinet.
Selain itu kata CGSI, kira-kira 90% bekalan gas sektor tenaga tertakluk kepada harga siling Tier-1 sebanyak RM35 bagi setiap MMBtu, manakala hanya sekitar 10% terdedah kepada harga pasaran semasa.
"Kami menganggarkan sekiranya harga gas meningkat 40% dan kos arang batu naik 25%, kesannya hanya akan meningkatkan tarif elektrik purata sekitar 4 sen/kWj atau kira-kira 9% sahaja," jelasnya.
Firma penyelidikan itu turut melihat risiko gangguan bekalan elektrik di seluruh Malaysia sebagai rendah walaupun berlaku ketidaktentuan geopolitik global, kerana kepelbagaian sistem penjanaan.
Selain itu, loji janakuasa arang batu kebiasaannya menyimpan stok bahan api selama beberapa minggu akan datang, manakala pembelian bahan api lazimnya dibuat tiga hingga empat bulan lebih awal.
Secara keseluruhan, CGSI mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor utiliti dengan prospek pertumbuhan yang disokong oleh peningkatan permintaan elektrik serta momentum dasar tenaga negara.
"Kami menjangka ada kitaran pelaburan baharu dalam sektor ini meliputi penjanaan gas, tenaga boleh diperbaharui (RE), simpanan bateri, infrastruktur gas dan peningkatan rangkaian grid," katanya.
Ia menjadikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malakoff Corporation Berhad sebagai pilihan utama kerana kedudukan strategik melalui pendapatan terkawal serta projek RE. - DagangNews.com








